Saturday, March 27, 2010

Syurga Idaman!

*Entri kali ini ditujukan khas buat seluruh warga PERMAI tercinta!*


Salam sesegar nailofar buat kalian yang dikasihi. Kali ini mahu menjadikan blog sebagai wadah untuk mempromosikan program terbaru PERMAI! :)


Apa itu Syurga Idaman?

Ok, Syurga Idaman adalah salah sebuah program tahunan di bawah JKK Perhubungan & Penempatan PERMAI (Persatuan Mahasiswa Irbid Jordan). Pada tahun sebelumnya program ini dinamakan dengan nama 'Anjung Seri' (2007) dan 'Anjung Seri Revolution' (2008) dan kini ia kembali semula dengan nafas baru yang lebih segar!

Jadi, apa matlamatnya?

Syurga Idaman adalah suatu pertandingan menghias rumah dan kediaman. Antara objektif utama program ini (program-program yang dibuat mesti ada tujuan ya,bukan saja-saja je) ialah:

1)Mencari keredhaan Allah
(buat apa-apa pun,mesti nak kejar mardhatillah kan?)
2)Memupuk semangat menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal
3)Melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang kreatif, inovatif dan dinamik
4)Merapatkan ukhuwwah antara mahasiswa

Penting sangat ke program ni?

Syurga Idaman ini hanyalah suatu usaha kecil bagi memupuk sifat kebersihan dalam diri mahasiswa PERMAI khususnya. Iyalah, sebenarnya tak perlu nak tunggu ada program macam ni baru nak bersih dan kemas kan? Cumanya program ini hadir bagi memeriahkan lagi perjalanan PERMAI disamping diharap dapat meniup semangat ahli PERMAI agar lebih berkobar-kobar mewujudkan Syurga Idaman masing-masing.

Kebersihan itu penting, sebab Allah itu cantik, dan Islam itu indah. Jadi sebagai hambaNya dan penganut agama suci ini, seharusnya penampilan dan status tempat tinggal kita juga menjadi refleksi terhadap kecantikan ini bukan?

Apakah kategori yang dipertandingkan?

Syabab (Rumah & Sakan), akhwat (Rumah & Sakan) dan keluarga. Akan ada juga kategori-kategori khas yang lain dipertandingkan.

Bagaimanakah pelaksanaan Syurga Idaman?

Program ini berlangsung hanya selama sebulan setengah iaitu bermula 1 April sehingga 15 Mei 2010. Dalam tempoh ini, sebanyak dua kali pemeriksaan dari rumah ke rumah akan dinilai oleh hakim-hakim yang telus dan bertauliah yang telah pun dilantik. Penilaian akan dibuat berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.Tetapi keunikan program ini terletak pada 'keterbukaannya',yakni warga PERMAI akan dimaklumkan tarikh hakim-hakim akan 'menyerang' rumah-rumah mereka!

Jadi tiada alasan untuk tidak bersedia. Ambil hati hakim anda sebaik mungkin, lagi pula melayan tetamu kerana Allah adalah tuntutan Islam. Jangan pula bila hakim menjenguk baru rumah menjadi Syurga, tetapi jejak saja kaki keluar rumah sudah menjadi kalut ribut!

Jom ceriakan kediaman kita!
Ke arah menjadi muslim yang holistik dan berpenampilan.
~BerPERMAI hingga ke Syurga~

***

Nota kaki:Harapnya bukan di akhirat sana sahaja kita dapat merasai nikmat Syurga Firdausi (insyaAllah!),bahkan di dunia ini jua dapat hidup tenang dalam Syurga Idaman sendiri. Biarlah Syurga Idaman di dunia ini membawa kita lebih dekat untuk ke Syurga Idaman yang jauh lebih hebat disana!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...