Wednesday, June 01, 2011

Buat sayangku si cantik

Seindah hiasan adalah wanita solehah.
Tidak inginkah kita menjadi seindah hiasan itu?


Sayangku,
warkah ini tidak lain tidak bukan,
hanyalah untuk berkongsi sedikit rasa hatiku,
yang selama ini terbit,
kerana rasa cintaku pada saudari-saudariku diluar sana.
Izinkan aku berkongsi rasa ini denganmu, agar engkau sekurang-kurangnya
dapat membantu aku menegur mereka dengan berhikmah.


Ketahuilah,
aku begitu kagum dengan kecantikan yang dianugerahkan Allah kepada kaum yang bernama wanita ini.

Maha Suci Allah, yang menciptakan aku dan kamu sebagai wanita yang cantik,
cantik dengan segala cukupnya fizikal kita, sempurnanya penciptaan kita.
Lebih cantik bila dia kurniakan kita dengan Iman dan Islam ini.

Dalam hari-hariku, aku melihat ramai wanita cantik, termasuk dirimu.
Bukan dengan kecantikan fizikal semata, tetapi kecantikan yang terpamer lewat dari keyakinan diri,
yang terbit dari peribadi unggul yang sungguh memikat hati.
Bahkan dengan hanya sebuah senyuman pun, bisa membuatkanmu kelihatan begitu cantik sekali di mataku.




Aku masih ingat lagi dengan kata-katamu,

"Yang tertutup itu indah"
Dulu pernah kau ceritakan padaku, bahawa nilai kecantikan seorang wanita itu,
adalah pada ketinggian akhlaq dan budi, serta kerendahan hatinya.
Kecantikannya terletak pada kesederhanaannya dan ketaatannya pada Tuhan serta Rasul.

"Biar buruk di mata makhluq, asal cantik di mata Khaliq" katamu.
Dan sahabatku, hingga kini aku masih memegang kata-katamu itu sebagai panduanku, terima kasih.



Tetapi sayangku,
lewat kebelakangan ini,
aku gusar melihat saudari-saudari kita.


Dek arus kemodenan,
maka sifat malu yang seharusnya mendiami diri mereka,
seakan terhakis.
Tidak, bukan aku ingin menidakkan fitrah kita yang ingin kelihatan cantik,
tetapi fitrah itu haruslah dikawal, agar tidak menjadi fitnah.


Gusar aku melihat,
saudari-saudariku mempamerkan kecantikan mereka untuk tatapan semesta tanpa ada sedikit pun rasa malu ataupun segan.
Tidakkah mereka tahu, bahawa sifat malu itulah yang menjadikan diri mereka istimewa dan indah?
Bila hilang rasa malu itu, maka tiada lagi keindahan yang tersisa.


Sayangku,
kecantikan itu suatu anugerah yang perlu disimpan dan dijaga,
agar tidak menjadi fitnah yang membarah.
Adakah mereka sudah lupa, bahawa kecantikan wanita itu bisa menggoncangkan iman para adam?
Sanggupkah mereka menanggung dosa yang mereka lakukan tanpa sedar itu?
Bukankah kita sebagai hawa, harus meringankan 'beban' sang adam,
dengan menjaga dan memelihara kesucian diri kita?




Bantu aku sahabat.
Khabarkan kepada mereka,
bahawa seharusnya kecantikan mereka itu,
disimpan dan dinikmati oleh hanya yang berhak sahaja.


Nasihati mereka,
agar berhati-hati dan besederhana dalam meraikan fitrah ingin kelihatan cantik itu.
Tidak salah untuk kelihatan cantik, bergaya dengan fesyen terkini,
tetapi jangan sampai lupa pada batas agama.


Kerana ketahuilah,
bahawa kita tidak memerlukan kecantikan fizikal dan luaran,
tetapi cukuplah dengan kerendahan hati dan ketinggian akhlaq,
menjadi kejelitaan hakiki yang bukan sahaja dikagumi manusia di bumi, 
tetapi juga penduduk di langit!


Dan akhirnya,
Ketahuilah sesungguhnya aku peduli, kerana aku cinta.
Aku ingin kita kembali bertemu di sana, sebagai bidadari syurga.


Semoga Allah menjadikan kita sebagai wanita yang sentiasa cantik di pandanganNya.


Ameen.


Yang menyayangi kamu dan mereka kerana Allah,
Nur Farah Aisyah binti Nazim.

1 comment:

  1. ketahuilah wanita..
    kecantikanmu hny semnetara..
    x setanding 'Ainul mardhiah..
    x selamanya engkau cantik..
    kerna cantik itu dariNya..
    yg Maha Sempurna

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...