Wednesday, December 12, 2012

Bagaimana perubatan boleh menjadi ibadah?



Oleh : Ahmad Hidayat Hasni bin Mad Isa
Bagaimana sebenarnya kita membayangkan masa depan dalam hidup ini? Kerjaya apa yang kita inginkan? Sejauhmana kerjaya yang kita ceburi itu dapat memberi kita kepuasan dan kelebihan pada hidup kita?
Sudah pasti itu adalah beberapa persoalan yang selalu di antara kita fikirkan. Bagi seorang muslim, sudah pasti kita percaya dan yakin bahawa hidup ini terikat dengan tangungjawab kita untuk mengabdikan diri kepada Allah.
“Dan tidaklah Aku ciptakan seluruh jin dan seluruh manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” [Surah Az-Zumar :56]

Dengan itu, semestinyalah kita perlu meyakini bahawa apa sahaja yang kita lakukan di dunia ini akan dikira dan diperhitungkan di akhirat nanti, termasuklah apa sahaja bidang kerjaya yang kita ceburi.
Bagi seorang muslim yang ditentukan oleh Allah untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang doktor perubatan, kita harus meletakkan kerjaya kita itu sebagai salah satu cara dan platform untuk kita mengabdikan diri kepada Allah, atau dalam kata lain, kita perlulah jadikan perubatan itu sebagai ibadah kita kepada Allah.
Bayangkan, jika niat kita ikhlas menjadikan kerjaya perubatan kita sebagai salah satu cara dan wasilah untuk mendapat redha Allah, nescaya tidak akan sia-sialah sebahagian besar umur kita yang dikorbankan untuk perubatan, bermula dari pengajian kita di universiti selama kira-kira 5-6 tahun dan seterusnya dalam bidang kerjaya yang tidak kurang dari 10 tahun pada kebiasaannya.
Namun, persoalannya bagaimana? Bagaimana kita ingin jadikan perubatan sebagai salah satu ibadah kita kepada Allah?
Para pembaca yang dirahmati Allah,
Bayangkan betapa bertuahnya seorang doktor kerana dalam kerjayanya, dia berhadapan dengan makhluk yang bernama manusia, yang dikategorikan oleh pencipta sekalian makhluk sebagai ciptaan yang mempunyai sebaik-baik bentuk.
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” [Surah At-Tin : 4]
Penciptaan jantung umpamanya, yang tidak pernah berhenti berdegup, yang mempunyai  kawalan aktiviti elektrik secara sendiri, tumbesaran bayi dalam kandungan, fungsi otak, berbillion sel dalam tubuh badan, adakah itu tidak memberikan kita suatu perasaan bahawa betapa kompleksnya penciptaan manusia, dan betapa hebatnya pencipta manusia?
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di segenap penjuru alam dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar.” [Surah Fussilat: 53]

Doktor juga adalah saksi kepada 1001 penyakit yang ditimpa manusia. 1001 ujian yang Allah timpakan kepada manusia melalui penyakit dan kemalangan, cukuplah untuk mengajar kita supaya mensyukuri nikmat tubuh badan dan kesihatan yang selalu kita lupa. Penyakit, pesakit dan kematian yang kita jumpa pada setiap hari adalah peringatan langsung dari Allah untuk seorang doktor perubatan bahawasanya hidup ini adalah sementara dan nikmat yang Allah beri kepada kita boleh ditarik semula pada bila-bila masa dan ketika.
“Dua nikmat yang selalu dipersiakan manusia, nikmat sihat dan nikmat kelapangan masa.” [Riwayat Bukhari]
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Tujuan asal perubatan dan rawatan itu sendiri adalah untuk menghilangkan kesulitan dan penderitaan pesakit dan memastikan pesakit itu dalam keadaan kesihatan yang baik sama ada secara fizikal, mental, sosial, mahupun spiritual.
Itu adalah prinsip asas perubatan. Tidakkah ini selari dengan seruan Islam itu sendiri bahawa sebaik-baik manusia adalah yang memanfaatkan manusia lain? Tidakkah memulihkan kesihatan orang lain itu sesuatu yang bermanfaat?
Dari Ibnu Umar bahwa seorang lelaki mendatangi Nabi saw dan berkata, “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling diicintai Allah ? Dan amal apakah yang paling dicintai Allah?”
Rasulullah menjawab, “Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia dan amal yang paling dicintai Allah adalah kebahagiaan yang engkau masukkan ke dalam diri seorang muslim atau engkau menghilangkan suatu kesulitan atau engkau melunasi hutang atau menghilangkan kelaparan. Dan sesungguhnya aku berjalan bersama seorang saudaraku untuk (menunaikan) suatu keperluan lebih aku sukai daripada aku beri’tikaf di masjid ini—yaitu Masjid Madinah—selama satu bulan. Dan barangsiapa yang menghentikan amarahnya maka Allah akan menutupi kekurangannya dan barangsiapa menahan amarahnya padahal dirinya sanggup untuk melakukannya maka Allah akan memenuhi hatinya dengan harapan pada hari kiamat. Dan barangsiapa yang berjalan bersama saudaranya untuk (menunaikan) suatu keperluan sehingga tertunaikan (keperluan) itu maka Allah akan meneguhkan kakinya pada hari tergelincirnya kaki-kaki (hari perhitungan).” (Riwayat Thabrani)
Hadis ini dihasankan oleh Syeikh Al-Albani.
Allah juga berfirman yang bermaksud :
 “Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.” [Surah Al-Maidah : 32]
Jika pesakit itu baik keadaan kesihatannya, dia mungkin boleh kembali bekerja, boleh kembali menyara keluarganya. Dia juga mungkin boleh kembali dalam keadaan normal dan bahagia untuk meluangkan masa bersama keluarganya.  Jika dia seorang ibu yang melahirkan anak, maka kita telah membantunya mempunyai cahaya mata. Jika dia seorang muslim, maka dia boleh kembali beribadah dengan sempurna.
Lihatlah betapa besarnya manfaat merawat manusia.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
 Doktor perubatan merupakan antara kerjaya yang manusia selalunya akan percaya apa yang dikatakan kepada mereka. Doktor perubatan juga adalah antara kerjaya yang ramai manusia berhajat untuk berjumpa, dan mengharapkan bantuan darinya.
Keperluan doktor perubatan dalam masyarakat juga adalah sangat kritikal, maka sebab itu mereka yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dijamin kerja oleh kerajaan kerana kurangnya bilangan doktor dalam masyarakat.
Emosi dan spiritual manusia juga secara fitrahnya akan menjadi sangat rapuh dan lemah ketika menghadapi dugaan dan ujian. Jadi dalam keadaan ini, sebarang nasihat yang baik secara kebiasaanya akan mudah diterima.
Maka adalah menjadi tanggungjawab seorang doktor muslim untuk kita menggunakan kesempatan yang ada ini untuk menyebarluaskan lagi risalah dan kefahaman tentang Islam sama ada kepada pesakit muslim atau pun bukan muslim.
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.”   [Surah Al-Asr : 1-3]
Dakwah dan ajakan kita kepada pesakit tentang kefahaman Islam itu boleh dilakukan sama ada secara lisan mahupun secara perbuatan dan sikap yang baik yang terpamer pada diri kita sendiri.  Sebahagian dari penyakit yang dihidapi oleh manusia itu berpunca dari kelekaan dan kesalahan manusia itu sendiri. Jadi, seorang doktor itu tidak boleh lari dari memberi peringatan kepada pesakit-pesakitnya agar mengubah tabiat buruk yang diamalkan oleh pesakit sebelum ini.
Sebagai contoh, merokok boleh menyebabkan kanser paru-paru, mengambil alkohol boleh menyebabkan kerosakan hati, seks rambang boleh menyebabkan AIDS dan sebagainya.  Maka doktor haruslah mendepani mereka ini dan berusaha menyampaikan nasihat secara berhikmah agar mereka mengubah tabiat mereka untuk manfaat diri mereka.
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orangyang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk.” [Surah An-Nahl : 125]
Kesimpulannya, saya akan rumuskan apakah prinsip-prinsip asas yang perlu dipegang oleh seorang doktor bagi memastikan kerjayanya sebagai doktor perubatan bernilai ibadah.
1) Menginsafi penciptaan manusia sebagai sebaik-baik ciptaan, justeru menjadi saksi terdekat tentang kekuasaan Allah kepada tubuh badan manusia serta mendapat peringatan terus dari Allah tentang kematian dan penyakit.
2) Berusaha memberikan manfaat yang paling optimum kepada pesakit dan menghilangkan kesulitannya, selari dengan saranan dalam hadis iaitu sebaik-baik manusia adalah yang memanfaatkan manusia lainnya.
3) Mengambil peluang untuk meyampaikan dakwah, memberi nasihat serta peringatan agar pesakit mengubah gaya hidup kepada yang lebih baik selari dengan tuntutan Islam.
Semoga dengan tulisan yang ringkas ini juga bernilai ibadah kepada saya dan menjadi bekalan untuk saya di akhirat nanti.


 Ahmad Hidayat Hasni bin Mad Isa adalah Mahasiswa Perubatan  tahun 5 di University of Science and Technology (JUST) Irbid, Jordan .  Beliau merupakan mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid (PERMAI) Jordan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...