Salam cinta dan sayang penuh kerinduan buat adik-adik sekalian, terutama junior-junior Maahad tercinta.
Apa khabar adik disana?
Apa khabar imanmu, apa khabar amalmu?
Tika dan saat ini,akak cukup yakin dan percaya, bahawa adik sedang berdebar-debar penuh tawakkal menanti detik yang sangat penting dalam kehidupan adik.
Detik yang bakal mengubah segalanya.
Detik yang membuahkan natijah segala penat lelah adik selama ini.
Pengumuman keputusan SPM.
Hari yang bakal mencetuskan segala rasa.
Ini cerita akak
Ini zaman muda-muda dulu. Yang sebelah akak tu,mesti korang kenal kan?
Best student Malaysia SPM 2008, Ukht Nik Nur Madihah
Adikku sayang, ketahuilah daku turut berkongsi kegelisahan dan keresahan yang sama dengan dirimu.
Saban tahun, kita memang sudah dimomokkan agar memberi perhatian pada pelajar-pelajar cemerlang, pada mereka yang berjaya memperolehi straight A's dalam semua matapelajaran yang diambil. Setiap tahun, tumpuan kita bakal beralih pada siapakah yang bakal memecah rekod tahun sebelumnya. Berapakah A yang bakal dicipta pula pada tahun ini?
Tapi adikku sayang,bukan itu yang ku cari darimu. Akak hanya ingin berkongsi rasa dengan dirimu. Andai ia sebuah kejayaan, ingin ku gandakan kejayaan tersebut, namun jika ianya sebuah kegagalan, dan natijahnya tidak seperti yang engkau mahu, maka akak bersedia untuk turut berkongsi duka itu denganmu.
Mengenangkan esok keputusan SPM 2009 bakal diumumkan, akak jadi teringat pada diri akak saat akak berada di posisi kalian ketika itu.
Saat-saat indah di Maahad, merupakan salah satu dari kenangan terbaik akak sepanjang 19 tahun kewujudan akak di muka bumi ini.
Dan seperti jua rakan-rakan yang lain, sudah tentu akak turut mengimpikan kejayaan.
Ketika di tingkatan 4, akak mengambil keputusan untuk mengambil 17 subjek. Kalau mengikut perancangan awal, akak sepatutnya sama-sama mengambil 20 subjek, serupa dengan Kak Nik Nur Madihah, namun akhirnya, selepas beristikharah dan atas nasihat umi dan abah akak memandangkan komitmen pada Badan Displin pada ketika itu, maka akak tetap tegar dengan pendirian untuk mengambil 17 subjek.
Bukan niat untuk bermegah-megah, bukan niat untuk menunjuk-nunjuk, namun keputusan yang diambil untuk mengambil lebih subjek dalam SPM, adalah diniatkan demi Allah, demi Islam, dan untuk mencabar keupayaan diri sendiri.
Akak bukanlah contoh terbaik dalam belajar ini. Jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan sekelas yang lain, maka usaha akak pada zahirnya kelihatan amatlah sedikit. Kelas pun selalu terpaksa ditinggalkan akibat komitmen sebagai ketua pelajar. Tapi tak mengapalah, amanah itu jua perlu dijalankan sebaik mungkin, seikhlas mungkin.
Jika kita ikhlas dalam menolong agamaNya, nescaya Dia jua akan menolong kita bukan?
Jika bukan sekarang, pasti pada masa akan datang.
Jika bukan di dunia, insyaAllah di akhirat sana.
Dan akak fikir, mungkin kerana keberkatan inilah, keberkatan doa umi abah, keberkatan doa guru-guru yang tidak pernah mengenal erti lelah dan penat, serta sokongan sahabat-sahabat yang sangat banyak membantu, akak berjaya mengecap kejayaan itu.
Maka pada saat diumumkan keputusan itu, ternyata akak berjaya melakukannya.
Tapi segala puji dipulangkan pada Allah. Kerana ini bukan hasil usaha akak semata, melainkan dengan rahmat dan kasihNya.
Kejayaan 17A itu, akak hadiahkan buat umi abah, adik-adik, keluarga, guru-guru serta sahabat seperjuangan. Ini untuk kalian semua!
Namun adik-adik, usahlah disangka bahawa SPM bakal penentu segala-galanya. SPM hanyalah kunci untuk membuka pintu kepada dimensi kehidupan yang lebih luas kelak.
17A tak kemana pun dik, jika hadirnya sekadar 17A. Sungguh, akak sangat mensyukuri bahawa kehidupan akak di MMP dulu bukan hanya dihabiskan semata-mata untuk akademik, namun akak turut merasai keseronokan alam remaja seperti rakan-rakan yang lain. Pengalaman memimpin, berpersatuan serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti serta pertandingan, membuatkan akak tidak pernah sesal meninggalkan bangku persekolahan yang cukup manis.
Andai sekalipun akak diberikan 17A1 namun tidak punya sebarang memori bersama adik-adik, kenangan berjuang bersama rakan-rakan sefikrah, pasti kejayaan itu tidak begitu bernilai dalam hidup akak.
Buat adik-adik
Berbaik sangkalah pada Dia
Itu kisah akak. 2 tahun sudah berlalu semenjak detik itu. Esok, adik yang akan berdepan dengan perasaan yang sama seperti kami, senior-senior yang pernah merasai perasaan yang sama itu.
Boleh jadi, esok merupakan hari yang paling gembira buat adik kerana Allah mengurniakan apa yang adik mahu.
Jika itu takdirnya, maka tahniah akak ucapkan di atas kejayaan adik. Maka selayaknya rasa syukur padaNya perlu didahulukan, serta ucapan terima kasih pada orang-orang sekeliling yang telah banyak membantumu tanpa dikau sedari. Hindari riya' dan takjub dalam diri. Ingat, segalanya milk Dia.
Itu andai segalanya berjalan seperti mana yang direncanakan.
Namun,jika Allah tidak menginginkannya, usah bersedih.
Allah merancang, kita jua merancang, namun sebaik-baik perancang adalah Dia.
Akak tahu, kegagalan merupakan suatu yang sangat adik takuti. Tiada siapa pun yang mahu gagal bukan? Namun imanilah, tak semua yang kita mahu itu, terbaik buat kita, dan tak semua yang kita perlu itu, adalah yang kita mahu.
''Dan boleh jadi apa yang kamu tidak sukai itu baik bagi kamu, dan boleh jadi apa yang kamu sukai itu buruk buat kamu. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui sedangkan kamu langsung tidak mengetahui apa apa" [2: 216]
SPM bukanlah penamat segalanya. Akak cukup yakin dan percaya, bahawa Dia mempunyai rencana yang lebih baik buat adik. Lagipun adikku sayang, kejayaan kita yang paling utama, bukanlah terletak pada sebanyak mana A yang kita perolehi.
Perjalanan kita masih panjang.
Destinasi terakhir, negeri akhirat masih jauh.
SPM hanyalah titik kecil dalam perjalanan kita yang masih panjang.
Tiada erti adik mendapat kejayaan duniawi, jika hakikatnya Allah tidak redha, emak ayah tidak restu, guru-guru terasa hati. Adalah amat malang jika itu yang berlaku, nauzubillahi min zalik.
Kegagalan dan ujian, boleh jadi satu teguran dari Allah.
Muhasabah kembali apa yang kurang, dimana silapnya. Mungkin keberkatan itu tiada, mungkin saja ada hati yang terluka sepanjang perjuanganmu menuntut ilmu. Atau mungkin adik terlupa, bahawa kita hanya berusaha, natijahnya, Dia yang berhak.
Kegagalan dan ujian juga, boleh jadi suatu nikmat dan tarbiah dariNya.
Boleh jadi, Dia ingin menyelamatkan adik dari lemas dengan kebanggan dan perasaan riak yang melampau. Mungkin jua dengan ini maka adik akan lebih hampir denganNya serta tidak lupa diri. Atau mungkin jua, Dia telah menyediakan kejayaan yang lebih besar buat adik kelak.
Walau apa pun hadaf kegagalan dan kejayaan itu, percayalah bahawa itu adalah tanda kasih sayangNya pada kita. Ya, setiap yang berlaku adalah tanda cintaNya pada hambaNya.
Optimislah.
Belajar untuk bersyukur, redha dan sabar.
Kejayaan abadi, adalah kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan mendapat redhaNya.
“Serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.” [9: 72]
Life is not just about getting straight A's or grasping a certificate! It's more than that!
Orang yang hebat, maka Allah akan mengujinya dengan ujian yang hebat jua!
Akak doakan yang terbaik buat kalian semua.
Sesungguhnya aku amat merindui adinda-adindaku. Moga kalian dipelihara oleh Allah sentiasa, walau apa pun yang berlaku.
Salam sayang, salam mahabbah,
K.Farah Aisyah
Irbid,Jordan
Notakaki1: Jangan lupa update dengan akak ye pasal result korang. Kebahagiaan dan kekecewaan itu adalah untuk dikongsi, bukan hanya dipendam sendirian bukan? ;)
Notakaki2: Sahabiah-sahabiah STAM juga tidak dilupakan. Esok hari besar buat kalian bukan? Ana mendoakan yang terbaik, sentiasa~
No comments:
Post a Comment