Sunday, March 06, 2011

Rahsia cinta dalam setiap amal



''Kenapa nak beribadah banyak-banyak? Kau pun tahu yang kau dah tak punya rasa dalam ibadah ini. Penat je buat ibadah banyak, tapi takde kualiti pun''

Barangkali itulah yang dibisikkan syaitan pada kita saat rasa futur menyapa.

Rasa kosong, rasa tidak bersemangat, rasa tiada ruh dalam segala amal yang dilakukan, sehingga diri rasa penat dengan ibadah-tanpa-jiwa ini. Walau sebanyak mana pun amal ibadah yang cuba dilakukan, rasa kosong itu tetap jua wujud.

Aneh, mengapa rasa semakin jauh dari Dia, tatkala amal kepadaNya semakin bertambah?

Ujian rasa

Anda pernah rasa seperti apa yang saya rasa? Iya, saya yakin dan percaya, pasti antara kita, pernah merasai berada dalam fatrah sebegini. 

Jika suatu saat dulu, kita rasa sangat bertenaga dan bersemangat dalam tiap amal yang kita lakukan. Dalam sehari, kadang-kadang kita berasa pelik kerana kita mampu untuk melakukan banyak ibadah kepadaNya. Oh, manisnya berada dalam keimanan dan ketaatan.

Tapi adakalanya, Allah menguji kita. Dia menarik rasa itu dari dalam jiwa, justeru segala yang dilakukan, tiada kemanisan yang terasa. 

Hambar. Kosong.

Maka akhirnya, kita memilih untuk terus berhenti dari menggandakan ibadah kita, dengan alasan 'sudah tiada rasa lagi'.

Kuantiti vs Kualiti

Kata orang, kualiti itu lebih penting berbanding kuantiti. Biar sedikit amalnya, namun berkualiti, dari ibadah yang banyak tapi sia-sia.

Iya, saya bersetuju dengan pendapat ini. Tapi kata saya, biarlah kuantiti itu seiring dengan kualiti. Banyak kuantitinya, dan moga dengan itu, semakin meningkatlah kualitinya.

Sering kali apabila kita berhadapan dengan situasi di atas, kita akan memilih untuk mengurangkan kuantiti amal kita, dengan alasan untuk menumpukan pada soal kualitinya.

Tetapi, yakinkah kita, dengan mengurangnya kuantiti amal kita, kita dapat lebih fokus dengan amal itu? Apa jaminan bahawa kita akan berjaya?

Jadi, macam mana? Nak teruskan kejar kuantiti atau berhenti pada tahap biasa-biasa dan cuba untuk meningkatkan kualiti?

Rahsia cinta dalam setiap amal



Bagi saya, ambillah kedua-duanya. Tingkatkan kuantiti ibadah anda, tetapi pada masa yang sama mengekalkan kecemerlangan kualitinya.

Sukar bukan?

Tetapi setiap kali saya berfikir untuk berhenti menggandakan amal saya, kata-kata ini akan segera saya ingati.

"Di sebalik tiap amal soleh itu, ada rahsia cinta Allah. Maka paksalah dirimu agar ia sebati dalam kehidupanmu, sebagai darah dagingmu. Kerana cinta Allah itu, perlukan mujahadah."

Benar, di setiap amal yang dilakukan, yakinlah bahawa ianya tidak pernah sia-sia. Ada rahsia kebaikan dalam setiap yang kita lakukan. 

Mungkin, kita tak rasa apa-apa saat membaca kalam-kalamNya. Mungkin, hati tidak bergetar, saat rukuk dan sujud kepadaNya. Tetapi kita tidak tahu, bahawa amalan-amalan itu sebenarnya telah menjadi agen pencuci hati dan jiwa kita tanpa disedari.

Jadi, jangan mudah berputus asa! Teruskan beribadah, walau tanpa rasa, kerana rasa itu akan datang jua kelak.

Saya percaya, kuantiti yang banyak akan membuatkan kebarangkalian  mendapatkan kualiti itu lebih tinggi. Maknanya, semakin banyak usaha kita untuk mendekatkan diri kepadaNya, maka semakin cerah peluang kita untuk merasai nikmat kemanisan iman itu dalam waktu yang lebih singkat.

3ala kulli hal, semuanya bergantung atas rahmat Allah taala jua. Amal itu hanya suatu wasilah, untuk 'memancing' perhatian Allah pada diri kita.

Akhirnya, paksalah diri untuk sentiasa dalam kebaikan. 'Fake it until you make it.' Benda baik, takkan jadi kebiasaan kalau tidak dipaksa pada awalnya. Dan di samping itu, berusahalah untuk menambahkan ilmu berkaitan dengan ibadah kita, kerana tahu itu yang akan mencambahkan mahu, seterusnya membuahkan mampu.

Dan mohonlah selalu padaNya, agar Dia mengurniakan kita semua kelazatan dalam beribadah.

Semoga kita sama-sama dapat merasa nikmatnya menjadi hambaNya.

Wallahua'lam~

6 comments:

  1. Pertambahan perasaan seronok didalam beribadah sangat-sangat perlu dilengkapi dengan PENINGKATAN ILMU.

    Orang yang bersungguh-sungguh beribadah juga sangat-sangat bekeperluan mendapat pengisian TAZKIAH sentiasa.

    Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  2. Saya kenal rimbun pohon ni. Aih, dah pandai bersuara dengan nama.

    ReplyDelete
  3. [rimbun.pohon]
    terima kasih atas pandangan.
    benar, sebagai manusia biasa, kita sentiasa memerlukan motivasi untuk terus memacu momentum keseronokan dalam beribadah itu.

    [anonymous]
    err, saya tidak kenal siapa rimbun.pohon itu, dan juga awak~

    ReplyDelete
  4. ouh.
    tiba-tiba rasa macam nak hantuk kepala dekat dinding -.-'
    okey, itu hanya hyperbola >.<

    ya, setiap usaha itu ada nilainya,
    nilai tersendiri yang tak bisa kita mengerti.
    biar hati terasa kaku, beku, kering tanpa air mata.
    asal diri tak pernah mengalah untuk terus berusaha.

    bukan tak tahu, cuma sering terlupa.
    kerana itu pentingnya peringatan dari mereka yang ingat :)

    ReplyDelete
  5. nice entry...

    really agree..

    Untuk melakukan sesuatu kebaikan mungkin kena mulakan dengan paksaan terlebih dahulu. Dan pastinya akan ada unsur ketidakihklasan.

    Tapi InsyaALLAH ia akan bertukar mnjadi amalan yang akan sentiasa ingin d lakukan dan berasa kekok jika tidak.

    Perlu untuk sedikit desakan dan pujukan dalam hati..

    Sekali kita usaha untuk melangkah, ALLAH melngkah lebih byk lg kearah kita pd ketika itu..

    Yakin bantuanNYA ada di mana-mana...

    jzk fasya...:)

    ReplyDelete
  6. jazkk dik,


    adik menulis, dan akak membaca: just in time

    sedang hilang rasa oh :(
    Allah sungguh baik,
    menghantar keajaiban dari tulisan


    terima kasih!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...