Thursday, March 24, 2011

Sukarnya menjadi akhawat



Mentarbiah akhawwat memang ada kelainannya berbanding dengan ikhwah. Alhamdulillah, aku diberi izin oleh Allah untuk terlibat dalam mendidik kedua-dua gen ini. Walaupun silibus perbincangannya sama, tapi pengkhususan tetap berbeza. Akhawwat akan menjadi isteri kepada seorang ‘pejuang’ yang bukan sahaja memimpin keluarga, bahkan menjadi pemimpin massa. Pastinya tugas mereka seberat ummahatul mukminin dalam memotivasi suami agar terus kukuh dan agresif dalam perjuangan. Kerja sebenarnya kelak adalah menjadi sekolah baru dalam rumahtangga yang bakal melahirkan generasi baru yang mewarisi perjuangan. Mereka bertanggungjawab memastikan kesinambungan perjuangan ini berterusan. Ini tidak menafikan peranan mereka di luar rumah dalam mendidik puteri-puteri sejenisnya.
Kata Hasan al-Banna: “Islam berpandangan wanita mempunyai tugas yang sesuai dengan semulajadi mereka iaitu di rumah dan bersama anak-anak. Sebagai anak gadis dia perlu mempersiapkan dirinya untuk memikul tanggungjawab keluarga di masa depan. Sebagai isteri dia perlu memberikan seluruh tumpuannya kepada rumah dan suaminya. Sebagai ibu dia perlu berkhidmat untuk suami dan anak-anaknya. Dia perlu memberi tumpuan kepada rumahnya. Dia adalah surirumah dan pengurus rumahtangga. Apakah dengan segala urusan rumahtangga ini wanita ada masa lapang untuk melakukan perkara-perkara lain…?” (Risalah Wanita Islam)
Akhawwat, walaupun terkenal amat berminat dengan program-program tarbiah, tapi cabaran yang perlu mereka hadapi untuk terus istiqamah juga sangat hebat. Tatkala serangan musuh banyak tertumpu kepada mereka, potensi untuk gugur sangat tinggi. Lihat saja cara berpakaian dan gaya hidup wanita masa kini. Tidak mustahil memikat hati mereka yang memang sukakan keindahan dan kecantikan.
Lantaran itulah Rasulullah SAW memotivasi umatnya agar berbuat baik dengan anak-anak perempuan dan memberi penghormatan yang tinggi kepada mereka. Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, maka ia bersabar dengan kesusahan, kesedihan dan kegembiraan mereka, Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmatNya atas (syafaat) anak-anak perempuannya.” Berkata seorang lelaki: “Kalau dua orang sahaja wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Ataupun dua orang”. Maka berkata lagi lelaki itu: “Kalau seorang wahai Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Walau pun seorang”. (Riwayat Imam Ahmad. Musnad Imam Ahmad. Jil. 17 Hal. 113 No. 8071)
Cabaran kedua yang akan mereka hadapi ialah apabila berumahtangga. Tatkala semakin ramai lelaki yang hilang kelayakannya untuk memimpin rumahtangga, peluang untuk mendapatkan yang terbaik menjadi satu masalah besar. Mencari orang yang memahami apa yang ia faham, meyakini apa yang ia yakini dan memperjuangkan apa yang ia perjuangkan bukanlah sesuatu yang mudah. Namun ia perlu berusaha mendapatkannya. Ini kerana, suaminya kelak akan banyak menentukan halatuju perjuangannya. Suami itu pemimpin keluarga. Suami ketua yang membentuk budaya rumahtangga. Isteri kebiasaannya akan terikut-ikut dengan sikap dan cara suami. Mungkin di peringkat awal wujud unsur bertolak ansur, tapi bila perkahwinan semakin panjang, pengaruh suami pastinya lebih dominan.
Akhawwat perlu berusaha mencari calon suami dalam komuniti fikrahnya sebelum menyerahkan jodohnya pada ketentuan takdir.
Kesilapan besar dalam mentarbiah akhawwat apabila tumpuan sekadar diberikan pada pembentukan peribadi dan membiarkan ia terkial-kial menentukan halatuju perjuangannya dalam rumahtangga. Sedangkan rumahtangga adalah medan sebenar mereka. Bahkan marhalah kedua dalam perjuangan mengembalikan ketuanan Islam di atas mukabumi (Ustaziatul Alam). Kecualilah kita deletekan sahaja peranan rumahtangga dalam agenda perubahan (manhaj tagyir) yang disepakati bersama.
Cabaran ketiga yang sering memfuturkan akhawwat ialah kerjayanya. Pastinya ia ingin menjadi pekerja yang terbaik di pejabat dan surirumah terbaik di rumah. Dua posisi dan tugasan yang sangat memenatkan. Ini akhirnya menyebabkan akhawwat hilang pedoman dalam menentukan priority. Ramai yang tidak sedar bahawa ia telah futur lantaran berpegang pada prinsip semua itu adalah ‘ibadah juga’. Tapi ia terlupa peranan sebenarnya dalam menyuntik kefahaman perjuangan pada akan-anak dan mewariskan kefahaman tersebut dalam diri mereka. Waktu ini kewujudan ‘suami mithali’ yang terus memberinya kekuatan, suntikan semangat dan meringankan bebannya ketika di rumah.
Lantaran itulah dalam mentarbiah ikhwah, murabbi perlu memberi fikrah yang sama kepada lelaki. Memahamkan tugas dan peranannya setelah berumahtangga, di samping tanggungjawab terhadap ummahnya. Keseimbangan pentarbiahan kedua-dua gen ini akan menentukan bentuk, warna dan corak rumahtangga yang mereka bina.
Mudah-mudahan kedua-dua gen yang sempurna pentarbiahan ini mampu disatukan dalam rumahtangga dakwah. Rumahtangga yang fikrah, kefahaman, halatuju hidup dan perjuangan adalah sama. Mudah-mudahan rumahtangga itu mampu menjadi bahtera dalam lautan perjuangan yang kukuh kesatuan ahli-ahlinya dan sama arah kompasnya. Kalaupun ada cabaran bukanlah pada perkara pokok (fikrah, objektif dan manhaj) tapi pada perkara cabang… ini kerana tidak akan ada rumahtangga yang langsung tidak ada masalah.
Mungkin impian ini terlalu ideal, tapi itulah tabiat dakwah ini. Itulah objektif sebenar pentarbiahan individu seperti kata Hasan al-Banna: “Pengislahan individu ini sudah tentu membawa kesan kepada keluarga kerana sebuah keluarga dibina oleh sekumpulan individu. Apabila lelaki dan wanita yang merupakan struktur asas sebuah keluarga menjadi baik, mereka berdua akan mampu membina sebuah keluarga contoh yang selari dengan garis panduan yang ditetapkan oleh Islam”.
Buat puteri-puteriku, abi doakan moga kalian terus thabat di atas jalan yang lurus. Dipertemukan ‘rijal’ yang rujulahnya mampu memimpin rumahtangga kalian dan sekelilingnya dengan fikrahnya. Amin.

3 comments:

  1. memang benar sekali apa yang diberitahu oleh pnulis ini ukht.jgan lenyapkan kebolehan kamu yang luar biasa itu kerana tersalah pilih teman yang biasa2..carilah teman yang sefikrah dgan kamu yang tahu apa itu "perjuangan"....jgan terpedaya dgan watak2 manis seorang lelaki pada masa sekarang...carilah orang tengah untuk mengenalnya dahulu..selidiklah temanmu itu sekurang2nya 2/3/4 tahun bukanya 2 hari.mungkin ALLAH telah mengatur yang terbaik untukmu tanpa disedari temanmu itu sentiasa mengikuti hidupmu tanpa kamu sedari dan mungkin suatu masa nanti temanmu itu sudah bersedia untuk memberitahumu..jgan kecewakan temanmu itu..semoga kamu dipertemukan dgan jodoh yang sesuai dr.cinta...amin...

    ReplyDelete
  2. oh...cuak plak rasa.


    ~diri masih dalam delema~
    :-(

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...