Saturday, March 12, 2011

Qaradhawi dan Misyar



Qaradhawi dan Misyar
Oleh: Siti Hajar Mohd Zaki


"Seandainya seorang wanita itu berhasil menggenggam dunia, berhasil mendapatkan semua anugerah penghargaan dari dunia dan berhasil mendapatkan semua kehebatan dunia, namun tidak mempunyai suami, sebenarnya wanita tersebut sangatlah miskin."

Dalam-dalam saya tanamkan persepsi itu ke jiwa saya. Persepsi itu didatangkan dari lidah seorang nisa yang sudah memacakkan besi tekad yang tidak boleh digoyang gugat. Sebagai rafik yang setia, saya cuba menghulurkan seulas persefahaman.

Namun ruang fikir saya yang waras ini payah untuk menjumlahkan persetujuan. Saya risaukan nasibnya pada hari-hari mendatang. Nasib bakal zuriatnya yang akan dikemudi seorang pendayung sahaja. Sepatutnya, berat dayung di tangan suami, berat jugalah dayung di tangan isteri dalam menongkah samudera kehidupan yang sesekali dipukul gelora.

"Biarlah masa depan itu datang sendiri. Jangan cemas dengan hari esok. Kalau hari ini aku mampu lakukan yang terbaik, insyaallah esok akan baik juga Nafeesah, kan?"


Zulaikha yang saya kenali memang bijak menangkis hujah. Barangkali kerana kebijaksanaan itu jugalah tiada lelaki yang berani menitipkan cinta. Zulaikha, wanita bijak yang sudah terlajak usia, payah diajak mencari cinta kerana istiqamahnya terhadap kerjaya payah diinjak-injak dan sukmanya hanya terletak kasih ayahanda bonda. Cuma akhir-akhir ini dia telah terserempak dengan satu rasa yang menggetarkan tetapi indah!

Zulaikha menggilai Yusuf? Saya menduga. Polos.

"Bukan menggilai. Mengagumi. Aku, Zulaikha, cintakan kesolehan seorang Yusuf. Aku pencinta akhlaknya! Aku mahu Yusuf menuntun aku ke pintu jannah."


Ayat Zulaikha tampak bersungguh. Saya memancing lagi.

"Jangan kau carikkan pakaian takwanya, Zulaikha."

"Insya-Allah tidak sama sekali, Nafeesah. Aku bukanlah Zulaikha yang mencintai Yusuf kerana ketampanannya hingga sanggup mencemar maruah! Aku sedar tanggungjawabnya untuk bahtera yang lebih berhak. Aku tidak akan membiarkan bahunya sendeng di akhirat nanti kerana gagal berlaku adil."
Iman

Saya rasa terpukul. Saya mafhum, ucapan itu mewakili perasaannya sendiri. Benar, Yusuf idaman Zulaikha tidaklah setampan mana. Kalau dibandingkan dengan Zulaikha, bagaikan pekatnya langit malam dan cerah bersinarnya suria pagi. Yusuf bukanlah jejaka pujaan gadis. Apatah lagi, Yusuf hanyalah penjual ikan di pasar borong. Namun, setelah mengenali Yusuf yang bergelumang dengan kehanyiran ikan itu, persepsi saya lantas gugur terjunam! Yusuf itu memiliki kewangian iman yang tidak jemu untuk dihidu! Yusuf itu memiliki sepersil ketenangan yang menjalarkan kebahagiaan!

Mata saya menombak ke wajah Zulaikha. Kecantikan yang sulit saya zahirkan. Wajah putih mulus, kening bertaut dan berhiaskan dua lekuk di tebing pipi, rupanya masih sulit untuk membeli hati lelaki. Barangkali kecantikan yang dilengkapkan dengan setambun ilmu dan kerjaya yang mantap itulah menjadikan lelaki ketakutan. Maka jadilah Zulaikha, peguam hebat yang bukan saja digeruni di dunia perundangan, malah turut digeruni oleh kumbang untuk cuba-cuba menghinggap di hatinya!

"Nafeesah, kebahagiaan itu tidak terletak pada keturunan, harta benda dan kecantikan lahiriah, tapi kebahagiaan itu terletak pada agama, ilmu pengetahuan, kesopanan akhlak dan tercapainya cita-cita. Dalam hadis riwayat Imam Tarmizi pun ada menyatakan, semulia-mulia seorang suami ialah yang memberi agama kepada isterinya."

Begitulah kilah Zulaikha tatkala saya mempertikaikan mengapa mesti Yusuf? Yusuf yang kurang pada material, wajah, kedudukan, malah paling menjengkelkan kurang pada usia. Sedangkan Zulaikha dilebihkan segalanya, apatah lagi, Zulaikha yang telah dilebihkan usianya 10 tahun daripada Yusuf!

Ketika di dunia kampus bukan tidak ada yang cuba-cuba memetik mawar semerbak mengharum itu. Tetapi dia sendiri yang memejamkan mata terhadap panahan mata arjuna. Tidak hairanlah dia telah menukilkan dirinya sebagai pelajar terbaik.

"Pengetahuan adalah tempat untuk kita berehat dan tempat berlindung pada hari tua. Jika kita tidak menanamnya semasa masih muda, ia tidak akan memberi perlindungan bila kita tua nanti, Nafeesah."
Itulah alasan sahabat saya yang degil itu. Apabila melangkah ke alam guaman pula, dia komited tanpa mahu menoleh-noleh lagi kepada cacamarba warna kehidupan.

"Bekerja itu adalah medium yang terbaik supaya manusia cinta kepada penghidupan. Walaupun bekerja itu akarnya pahit Nafeesah, tetapi buahnya amat manis!"


Itu falsafahnya sesudah mengejar cita-cita. Falsafah itulah menghadiahkan sebuah firma guaman yang gah, kereta dan rumah mewah hingga dia terlupa akan perjalanan sebuah naluri yang memerlukan sebuah perhentian. Dia lupa untuk jatuh cinta dan mengabaikan manis senyuman sang Adam. Dia membuat anologi, jangan tertipu dengan senyuman kerana sesungguhnya racun itu kadangkala dalam manisan juga.

Cuma akhir-akhir ini, setelah gemulah ayahanda bonda kesayangannya berangkat pulang ke alam barzakh, Zulaikha telah dihimpit kesunyian. Kesunyian itulah mendorongnya secara tiba-tiba mencari pelengkap hidup.

"Betullah Nafeesah, orang pernah cakap, semua pengetahuan diperoleh melalui proses pembelajaran. Kecuali cinta. Cinta itu tumbuh sendiri tanpa perlu berguru."

Buat pertama kalinya dalam ukhuwah kami ini, dia tiba-tiba bersuara membenarkan cinta! Sungguh-sungguh buat saya rasa terpana.

"Jangan terpaksa berkahwin kalau untuk hilangkan status andartumu, Zulaikha."
"Nafeesah, kau tentunya arif sirah Khadijah dan Muhammad, bukan?"

Soalannya sinis. Saya termalu. Ternyata Zulaikha cuba mengirimkan cintanya kepada Yusuf sebagaimana Khadijah cuba melakukannya kepada Muhammad. Khadijah, saudagar wanita yang sudah berusia, namun diberikan kekayaan oleh-Nya, terpikat dengan Muhammad yang jujur membawa barang-barang dagangan Khadijah yang diniagakan di Syam. Lalu, Zulaikha menjadikan saya seperti Nafisah binti Muiyyah, teman Khadijah untuk memanjangkan lamaran. Ya, saya mewakili Zulaikha untuk meleraikan hasrat kepada Yusuf. Bunyi macam sumbang, tapi itulah realitinya. Dan, reaksi Yusuf sendiri, terkebil-kebil, linglung, gumam dan hampir kehilangan diksi.

Nafkah

Tetapi kisah ini bukan benar-benar menyalin sirah Khadijah-Muhammad. Zulaikha menginginkan Yusuf yang sudah beristeri. Ketidakmampuan kewangan Yusuf, membuatkan Zulaikha merelakan sebuah perjanjian. Perjanjian bertulis, Yusuf sebagai suami hanya perlu memberi nafkah batin, sedang nafkah zahir sepenuhnya akan ditanggung oleh Zulaikha. Zulaikha tidak kisah Yusuf jarang-jarang bermalam di rumahnya. Sedangkan, Muhammad-Khadijah susah senang bersama.

Zulaikha mencuplik pandangan Mufti Mesir, Fadhilah al-Syeikh Dr. Ali Jum'ah, yang menyatakan jika rukun-rukun nikah telah sempurna, maka sahlah perkahwinan itu dan dibenarkan jika wanita mahu menggugurkan hak yang berhak diperoleh daripada hal yang berkaitan dengan kewajipan suami. Seperti Sayyidah Saudah binti Zam'ah yang tidak mengambil hak bermalam bersama Rasulullah, sebaliknya memberikan hak itu kepada Aisyah r.a. Buat Zulaikha, dia berhajatkan ada buah cinta yang bakal tumbuh daripada pohon cinta mereka dan dia mahu membesarkan sendiri buah cintanya.

"Cinta sejati tidak memandang wang, Nafeesah. Tetapi wang sangat penting untuk memelihara cinta, bukan?"
Itu pendiriannya berkaitan prinsip-prinsip yang harus berdiri bersama cinta. Ya, kerana punya wang Zulaikha merelakan Yusuf tidak memberikan sesen sekalipun. Dia hanya menagih statusnya sebagai isteri yang dimuliakan dan dijanjikan jannah oleh-Nya.

"Kau tahu, Nafeesah, wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pula pintu-pintu syurga. Wanita boleh masuk dari mana-mana pun pintu yang dia hajatkan tanpa dihisab. Malah, wanita yang taat pada suaminya, berpuasa dan bersolat, semua ikan di laut, burung-burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan, semuanya beristighfar buatnya."

Kelihatan Zulaikha mengumbar senyuman tatkala menceritakan sabda-sabda Nabi s.a.w itu kepada saya.

"Zulaikha, perjanjian sebegitu tidak memenuhi maksud sebuah institusi perkahwinan. Surah An-Nisa' ayat 34 jelas mengatakan suami diwajibkan mencari nafkah untuk isteri dan keluarganya. Lagipun, nanti apa kata masyarakat? Masyarakat kita tidak boleh terima perkahwinan sebegini, Zulaikha."
"Aku hanya akan fikirkan tentang orang-orang yang aku cintai. Sedetik pun aku tidak izinkan waktu aku untuk memikirkan tentang orang-orang yang aku benci. Kita diciptakan di alam keimanan yang begitu luas, namun acapkali kita menyempitkan jiwa kita dengan ketakutan, kesedihan dan ketidakpastian, Nafeesah?"
Saya terkedu dengan hujah Zulaikha. Betapa beruntungnya hati yang dijadikan kediaman cinta, kerana cinta membuatkan Zulaikha melupakan urusan dunia!

"Aku ingin menjadi seorang ibu. Aku amat berharap benih cinta kami segera subur dan menjadi buah yang boleh dipelihara penuh kasih sayang. Doakan aku, Nafeesah!"


Pahit saya menelan impian Zulaikha. Zulaikha dan ibu tunggal tiada bezanya. Cuma beza dari segi istilah. Tetapi dia tetap adalah ibu yang ditinggalkan. Punya suami tapi boleh pulang sesuka hati saat mengidamkan tubuhnya. Pastilah benih yang akan lahir itu tidak akan mempunyai ayah sebagai model hidupnya. Berkali-kali saya mengingatkan tentang nasib anaknya yang pastilah akan kekurangan kasih sayang ayah andai dia memilih perkahwinan begitu. Saya terimbas ujaran Prof. Dr. Wahbah Az-Zuhaily yang mengklasifikasikan perkahwinan pilihan Zulaikha ini sebagai makruh dan wajar dielakkan. Hukumnya makruh jika pernikahan ini tidak merealisasikan semua tujuan dan motif perkahwinan, kemanusiaan dan kemasyarakatan dalam keadaan yang sempurna.

"Mendidik adalah pekerjaan hati, Nafeesah. Cukuplah doa solehnya sentiasa mengiringi aku dan anak-anak. Di luar sana, betapa ramai ibu tunggal yang mampu mendidik anak-anaknya hingga menjadi sebaik-baik umat. Tidak mustahil pun sekarang ni, seorang ibu dapat mendidik sepuluh anak tanpa suami."
Ahh, Zulaikha terlalu realistik. Hujahnya payah dipatah-patah. Dia terburu-buru mahu merasai perit nikmat mengandung. Dia terlalu menagih janji-janji pahala olehNya. Zulaikha tidak sabar saat mengandungkan janin dalam rahimnya, para malaikat akan beristighfar untuknya. Dia mahu Allah mencatatkan setiap hari dengan 1,000 kebajikannya dan menghapuskan 1,000 kejahatannya.

Zulaikha tidak sabar untuk melalui saat-saat sakit hendak bersalin. Keperitan itulah yang dijanjikan Allah kepadanya bagaikan pahala orang yang berjihad kepada jalan Allah. Saat-saat dia melahirkan anak, dia akan dikeluarkan dari dosa-dosa seperti keadaan ibu yang melahirkan. Apabila menyusui anak itu, maka setiap satu tegukan daripada susu ibu akan diberikan satu kebajikan. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberikan pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Islam. Itulah bunga-bunga impian Zulaikha sedang berkembang.

Saya amat takut andai Yusuf sudah puas, rasa bosan akan menjelma tanpa bertunda-tunda. Saya takut Zulaikha akan dilepaskan tanpa belas, lalu menciptakan rafik saya itu seorang janda. Nauzubillah. Tetapi itulah yang paling saya takutkan. Kesolehan Yusuf belum cukup kuat untuk meyakinkan saya. Seperti sabda Rasulullah: Jika sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah saat kehancuran.

Adakah Yusuf impian Zulaikha layak menggalas amanah ini?

Sahabat

Wajar atau tidak, ijab dan kabul sudah pun menjadi milik Yusuf dan Zulaikha dalam walimah ringkas. Saya hanya dapat menjadi sahabat yang mendoakan kebahagiaan mereka. Meskipun Yusuf mendapat keizinan isteri pertamanya, namun keizinan itu tidaklah didatangkan dengan nilai kerelaan yang sepenuhnya. Maka mafhumlah saya, mengapa malam giliran Zulaikha bertunda- tunda. Zulaikha pula tidaklah memendam rasa kerana memang itulah kesediaannya selama in. Malah, dia makin memperdiarkan rasa terkilannya apabila dia disahkan bunting pelamin! Maha Mencipta Rabb!

"Aku mahu Yusuf sendiri yang mengazankan anak ini nanti."
Itulah doa Zulaikha. Dia tidak jemu-jemu berbual dengan janin itu. Dia semacam tiada kerinduan kepada penanam zuriat itu meskipun sepanjang hampir sembilan bulan mengandung hanya beberapa kali saja Yusuf pulang. Alhamdulillah, mungkin berkat sabarnya juga, saat mengandung langsung tidak mendatangkan masalah. Sesekali, setiap malam Jumaat Yusuf menelefon, Zulaikha akan menekapkan telefon genggamnya ke perut. Yusuf sedang mengalunkan ayat-ayat al-Quran ke pendengaran anak mereka!

Hari ini, pada 17 Rabiulawal yang indah, Yusuf menelefon saya mengkhabarkan seorang lagi umat Muhammad akan melihat dunia. Saat saya dan suami tiba di wad, syahdu mengiringi suasana tatkala Yusuf sedang mengalunkan qamat dan azan ke telinga suci bayi itu. Saya terkenangkan hajat Zulaikha yang sudah terlunas.

Saya menghampiri Zulaikha. Zulaikha yang masih lemah pucat, dengan lembutnya menggenggam jemari saya sembari tersenyum indah.


"Nafeesah, putera bernama Al-Qaradhawi ini, akan aku tarbiahnya hingga menjadi ulama terkenal! Aku mahu tahu pula apakah pandangannya terhadap perkahwinan yang dipilih umminya ini."

Sukma saya sungguh berkocak-kocak tatkala menadah ayat terakhir Zulaikha itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...