Wednesday, June 30, 2010

Cantik seorang wanita


"Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... Begitulah orang yang cantik jarang berbudi.."

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah", maka akan menguntumlah sekuntum senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia. Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji. Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia.

Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya kelebihan. Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.

Jika ia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya. Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai. Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin.

Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya. Kalau ia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya harumnya tiada.

Sebaliknya wanita yang tidak cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaanNya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa. Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang. Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan.

Wanita yang kurang cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya.

Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhlukNya. Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung-hitung pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka.

Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan.

Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik hodoh itu adalah pemberiNya. Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi. Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat Iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya? Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat.

Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula dirimu wahai wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan. Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang dijadikanNya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran.

Monday, June 28, 2010

Demi Allah,jangan pernah berhenti!

Bismillah..

Sepanjang saya berkenalan dengan dunia penulisan dan blog, ternyata telah banyak yang saya pelajari.

Bermacam-macam jenis penulisan yang telah saya temui.

Dan tidaklah berlalu begitu sahaja masa saya yang dihabiskan untuk membaca blog, melainkan bertambahnya ilmu saya, dan menjadi semakin kuatlah emosi saya.

Benar,hanya kapas yang basah sahaja yang mampu membasahkan kapas-kapas yang lain.

Hanya luahan hati yang jujur, hanya kata-kata yang terbit dari hati yang ikhlas sahaja yang mampu menggetarkan jiwa yang membaca.

Terkadang apabila membaca mengenai kisah hidup insan-insan hebat di sekeliling saya, saya jadi rendah diri yang amat sangat. Terasa diri ini begitu kerdil jika ingin dibandingkan dengan manusia lain.

Tapi ternyata saya sedar, bahawa Allah telah menciptakan setiap insan itu, istimewa sekali.
Bergantung kepada kita samada ingin memanfaatkan keistimewaan itu,atau menyia-nyiakannya.

Buat sahabat-sahabat, kamu mungkin tidak menyedarinya, tetapi tulisan kalian telah acapkali menyentuh jiwaku.

Bicara ikhlas kalian, adalah penawar paling mujarab kepada diri ini tatkala dilanda duka, semestinya selepas Al-Quran.

Perkongsian kalian tentang kehidupan, menyedarkan aku bahawa lumrah sebuah kehidupan itu, tidak mudah, namun semangat dan ketabahan kalian ku jadikan sebagai teladan dan inspirasi.

Kekaguman aku pada kehebatan kalian, mengingatkan aku betapa Tuhan kita lebih Hebat kerana memberikan kalian kehebatan itu.

Dan dalam diam,aku memasang cita untuk menjadi sehebat kalian.

Baik dalam bidang dakwah, kepimpinan, akademik, atau apa sahaja, kalian sesungguhnya telah mengajarkan aku sesuatu tentang erti sebuah kehidupan.

Subhanallah,hebatnya Tuhan,telah memberikan penulisan itu suatu kuasa sebagai wasilah 'ubudiyyah kepadaNya.

Jadi sahabat, jangan pernah berhenti menulis!

Berilah selagi mana kalian mampu memberi, kerana ada hati-hati yang begitu dahagakan sesuatu dari kalian.

Benarlah,erti hidup pada memberi.

Kepada kalian yang telah banyak membina jiwa dan semangat ini tanpa kalian sendiri pernah sedari, terima kasih,terima kasih,terima kasih! Hanya Allah jualah yang mampu membalas kebaikan kalian!

Demi Allah,jangan pernah berhenti!

Sunday, June 27, 2010

Diari Cinta Syria (1)

DIARI CINTA SYRIA
Oh Syria,sesungguhnya aku sudah jatuh cinta padamu!

''Bumi Syam itu,bumi suci,bumi pilihan Allah..
Maka disanalah,Dia akan memasukkan sesiapa sahaja yang dikehendaki,
Dan Dia jualah yang akan mengeluarkan sesiapa sahaja yang dikehendaki"

Terkedu saya mendengar kata-kata yang dilantunkan oleh Ustaz Amir,musyrif perjalanan kami membelah bumi Syria sepanjang kembara 4 hari 3 malam itu.

''Kita,bila memasuki negeri-negeri dataran Syam ini (Palestin,Jordan,Syria dan Lubnan), perlu ada rasa seronok dan gembira, kerana bumi ini adalah bumi barakah, tanah berpijaknya para anbiya' dan auliya' terdahulu"

Serta merta ada suatu perasaan aneh yang menyusup ke dalam jiwa saya.

Ya,saya akui,terkadang saya tidak begitu menghargai bumi ini,lebih-lebih lagi Jordan,tempat saya mencedok ilmu sekarang.

Lebih banyak kelemahan bumi ini saya singkap,membandingkan masyarakat disini dengan masyarakat sendiri di Malaysia.

Sering juga saya menyoal diri sendiri, "Kenapa aku memilih untuk berada disini,apabila negara sendiri lebih baik?Apa yang ada disini?Iya,aku tahu ini bumi Anbiya',tetapi mengapa aku tidak dapat merasakan apa-apa?"

Dan sungguh,kembara ke Syria membuka mata saya.

Bumi ini,bumi istimewa,bumi yang tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana bumi lain sekalipun.

Dan saya,adalah antara orang yang bertuah kerana diizinkan Allah untuk menumpang disini!

Bukan kembara biasa-biasa

Jaulah kali ini,adalah anjuran Akademi Tahfiz Az-Zikr yang disertai oleh 7 orang syabab dan 10 orang akhawat. Semuanya adalah pelajar tahun 1 Perubatan dan Pergigian JUST (Jordan University of Science & Technology). Pemergian kami kali ini,dengan harapan untuk menimba sesuatu dari bumi barakah Syam,dan moga dapat meningkatkan lagi mutu hafazan kami!

Dari Irbid ke sempadan Jordan-Syria tidaklah memakan masa yang begitu lama,hanya sekitar sejam perjalanan menggunakan jalan darat. Selepas menguruskan hal-hal berkaitan imigresen dan passport,kami meneruskan perjalanan kami dengan menaiki sebuah coaster yang agak mewah dan selesa. Disinilah kami berkenalan dengan Ustaz Amir,Ustaz Ziyad, Ustaz Abd Raof dan juga sepasang suami isteri bersama anak kecil mereka, si comel Irfan Haziq.

Hari pertama kembara, kami dibawa ke Kota Busro yang terletak jauh nun di hujung Syria. Masih ingat dengan nama Buhaira? Seorang pendeta nasrani yang berjaya mengesan kenabian Rasulullah s.a.w lewat apabila melihat kepulan awan yang melindungi Baginda sepanjang perjalanan Baginda bersama bapa saudara,Abu Thalib.

Kota Busro

Diceritakan bahawa Buhaira telah menasihati Abu Thalib untuk segera membawa Rasulullah pulang dari Syam setelah mengenalpasti kenabian Baginda, kerana menurut Buhaira,jika orang-orang Yahudi mengetahui tentang perihal ini,maka mereka akan mengancam untuk membunuh Rasulullah.

Diatas kebaikan Buhaira melindungi Rasulullah inilah menyebabkan namanya dikenang sehingga sekarang. Hanya Allah jualah yang mampu membalas kebaikan beliau yang telah menyelamatkan Baginda s.a.w, menyebabkan kita pada hari ni dapat mengecap nikmat Iman dan Islam.

Pintu masuk ke Kota Busro

Laluan terowong di dalam Kota

Binaan kota yang masih elok terjaga

Inilah dia colloseum dalam Kota Busro.

Kota Busro ini sebenarnya merupakan salah satu kota kerajaan Rom dahulukala. Senibina Rom jelas terlihat disini. Dikatakan bahawa Kota Busro merupakan salah satu kota yang masih terpelihara cantik sehingga kini, kerana selepas kedatangan Islam, binaan baru dibina mengelilingi kota ini bagi mengekalkan ciri asal Roman yang berbaki.

Patung sembahan di Kota Busro

Aha,ada cerita menarik berkaitan dengan patung-patung ini. Seperti kebiasaannya, patung-patung ini dibina atas tujuan penyembahan dan ibadat orang-orang terdahulu. Selepas kedatangan Islam,pemerintah telah mengarahkan agar 'dpancung' kepala patung-patung ini. Mengapa hanya kepala,dan tidak dihancurkan keseluruhannya? Wallahua'lam,saya tidak pula mengetahui sebab yang sebenar. Cumanya, menurut seorang syabab, mungkin mengikut cerita Nabi Ibrahim yang telah menghancurkan kepala berhala-berhala pada zamannya dahulu. Mungkin ada signifikannya yang tersendiri mengapa hanya kepala yang dihancurkan. Mungkin saja sebagai satu simbolik penghinaan.

Akhawat yang amat saya kasihi. Kembara ini mengukuhkan lagi ukhuwah kita! :)


Lagi kota Busro. Subhanallah,indah sekali binaannya, disaat kekurangan teknologi yang canggih seperti sekarang.

Ini pula dalah hamam,atau tempat mandi. Disini ada 2 lubang yang berfungsi sebagai saluran wap.
1 lubang untuk wap panas,dan 1 lagi untuk wap sejuk. Subhanallah,kagum-kagum.

Ini juga adalah sebahagian dari tinggalan Kota Busro.

Katil 'Hikmat'

Ini adalah katil beradu milik puteri kepada seorang raja pada zaman itu. (Maaf,terlupa nama Raja tersebut) Dihikayatkan bahawa pada zaman baginda, negara ini dilanda oleh serangan kala jengking yang bisa membawa maut. Kerana sayangkan anakandanya,raja tersebut telah membina sebuah katil yang sangat tinggi untuk puterinya. Namun dengan kehendak Allah,puteri baginda tetap mati jua. Sehebat-hebat perancangan manusia, Allah lebih Hebat perancanganNya~

Setelah lama di Kota Busro,kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya,maqam Imam Nawawi. Saya baru belajar dua istilah penting berkaitan dengan seerah, iaitu Dhorih dan juga Maqam.

Maqam,adalah tempat seorang tokoh pernah singgah selama hayatnya. Boleh jadi maqam itu merupakan tempat beliau mengajar,atau sekadar bekas tapak kaki. Tetapi Dhorih,adalah tempat bersemadinya jasad seseorang itu. Dalam bahasa mudahnya,dhorih adalah kubur. Semua dhorih adalah maqam, tetapi tidak semestinya semua maqam adalah dhorih.

Bercerita tentang Imam Nawawi rahimullah, nama sebenar beliau ialah Abu Zakaria Yahya bin Syaraf An-Nawawi,dilahirkan di Nawa,pinggir Damsyik pada tahun 1233 masihi, merupakan seorang pemikir Islam dalam bidang Fiqh dan Hadith. Imam Nawawi adalah salah seorang ulama' yang memperkukuhkan Mazhab Syafie.

Hidup Imam Nawai tidaklah lama, hanya 45 tahun sahaja. Namun,walaupun tempoh hidupnya yang pendek jika dibandingkan dengan ulama'-ulama' lain,beliau telah mengisi seluruh kehidupannya dengan menulis dan menyumbangkan ilmu terhadap Islam. Antara karya agungnya yang masih dikenali seluruh umat Islam dan diiktiraf sebagai permata berharga hingga sekarang adalah kitab Riyadus Solihin, Sharh Sahih Muslim, Sharh Sunan Abi Daud, Kitab Ar-Raudhah, Tahdhibul Asma' Was- Sifat, Hadis Arba'in, Mukhtasar At-Tirmidzi, Al-Adhkar, Al-Minhaj, At-Tibyan fi Adab Hamalat Al-Quran dan banyak lagi kitab-kitab yang berharga.J
ik
a dinisbahkan hasil tulisan beliau dengan umur beliau, dianggarkan bahawa beliau menulis sebanyak 20 helai sehari. Subhanallah!

Mungkin inilah yang dinamakan keberkatan masa dan hidup. Imam Syafie juga pernah berkata, hidup yang pendek tetapi bermanfaat, lebih baik dari hidup yang panjang tetapi sia-sia. Semoga Allah juga memberikan keberkatan hidup dan kelapangan masa buat kita semua :)

Selepas itu kami bergerak ke telaga Nabi Ayub dan maqam Baginda. Seputar kisah mengenai Nabi Ayub a.s, Baginda merupakan Nabi Allah yang diuji dengan dugaan yang berat, diuji dengan 4 macam perkara: Kehilangan kesihatan, harta benda, sanak saudara dan sahabat handai. Ada pelbagai versi tentang cerita penyakit Nabi Ayub, lebih-lebih lagi riwayat Israiliyyat, namun pesan Ustaz Raof, cukuplah untuk kita mengambil tahu bahawa Nabi Allah Ayub ditimpa sebuah penyakit sebagai ujian.

Yang mengagumkan saya,menurut Ustaz, sepanjang ditimpa penyakit tersebut, Nabi Ayub tidak pernah meminta agar disembuhkan penyakitnya, cuma Baginda sentiasa mengadu dan berdoa kepada Allah, agar terus memberikan beliau kekuatan. Subhanallah, tabah sungguh Baginda. Kita pula bagaimana? Baru dijentik sedikit dengan kesakitan, sudah mencebik dan merengek. Dimana nilai kesabaran kita?

Ketika ini juga,saya mendapat info berguna berkenaan khasiat air dingin dan sejuk dalam konsep perubatan dan penyembuhan.

Dan ingatlah akan hamba Kami Ayyub ketika dia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya aku diganggu setan dengan penderitaan dan bencana". (Allah berfirman), "Hentakkanlah kakimu, inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum" [38: 41-42]

Cuba perhatikan ayat Allah di atas, haza mughtasalun baaridun wa syarabun, inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum. Sungguh bercanggah sekali dengan apa yang kebanyakan dari kita yakini hari ini - minum air sejuk tak elok la untuk kesihatan; mandi air panas ni ada khasiatnya yang tersendiri.

MasyaAllah, antara kajian manusia dengan apa yang Tuhan manusia sebutkan sendiri, mana satu yang lebih kita yakini?Benar,mungkin ada kebenaran dari kajian-kajian manusia ini,tapi nah,ini Allah sendiri memberitahu kita suatu rahsia dan petua hebat - air yang sejuk dan dingin! Masihkah kita meraguinya?

Soal mandi dengan air sejuk, mudah saja untuk menerimanya. Contoh mudah, ikan, jika disiram dengan air sejuk yang berais dengan air yang panas, yang mana satu akan menyebabkan ikan tersebut lebih segar?

Kata Ustaz Raof, mandi air hangat memang baik untuk membuka liang pori dan mengeluarkan toksik, tetapi kemudian perlu ditutup kembali dengan siraman air sejuk. Subhanallah, sungguh saya kagum dengan ilmu Ustaz Abdul Raof ini, seorang murabbi yang juga pengamal perubatan Alternatif yang mempunyai klinik sendiri di Sri Gombak. Ada rahmat disebalik perkenalan ini :)

Kembara hari pertama diakhiri dengan ziarah ke maqam sahabat nabi, Huzaifah Al-Yamani, yang disebutkan oleh Baginda s.a.w sebagai pemegang rahsia Rasulullah yang sangat amanah. Selepas itu,kami bergerak ke hotel penginapan kami di Bandar Damsyiq.

Inilah Hotel Amal,tempat penginapan kami di Dimasyq

Apa yang saya kagumi tentang krew jaulah Az-Zikr kali ini,adalah sepanjang perjalanan di dalam coaster, bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dapat didengari dari sebelah syabab mahupun akhawat. Jika tidak diisi dengan ulangan hafazan ataupun tilawah sekalipun, pasti ada sahaja perkongsian ilmu yang bermanfaat, umpamanya adab-adab musafir,menghafal doa beramai-ramai dan sembang saintifik bersama Ustaz Abdul Raof. Semuanya menjadikan jaulah kali ini lebih berharga dan menarik.

Sejuk hati melihat Al-Quran menjadi pendamping paling setia krew Az-Zikr kali ini. Pantang ada masa terluang sedikit,pasti akan digunakan untuk mengulang atau menghafal. Hatta ketika hendak menunggu makanan tiba di meja santapan sekalipun,masih sempat bermain permainan mengulang Al-Quran. Inilah dia generasi hamalatul Quran yang diimpikan :)

Ya Allah,syukur padaMu kerana memberikan aku peluang untuk menyertai jaulah kali ini!

***Tamat Hari Pertama***

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...