Monday, November 30, 2009

Cherita Dari Jauh

Bismillahirrahmanirrahim
Salam sejahtera buat semua warga pembaca yang budiman..

Alhamdulillah,setinggi-tinggi pujian di rafa'kan ke hadrat Rabbul Izzati kerana setelah sekian lama tidak menjengah ke laman ini,jari-jemari saya masih lembut untuk menulis sesuatu dan minda masih mampu memikirkan bahan untuk ditulis kali ini.Syukur Alhamdulillah,syukur.

Setelah sekian lama saya menyepi dari dunia blog ini,bukan tidak ada apa yang ingin dikongsikan,bukan tidak ada cerita untuk dikhabarkan,tetapi entahlah,saya masih lagi bergelut dengan diri sendiri.Saat ingin menekan punat 'publish post' itulah merupakan saat yang paling sukar saya kira.Teringat tatkala seorang sahabat memberi reaksi mengenai blog ini,beliau berkata bahawa tidak semua orang punyai kekuatan untuk berkongsi kisah hidup dengan orang lain.Dan ya,saya termasuk dalam kalangan orang-orang itu.Tapi saya tidak ingin selamanya berada di bawah kepompong ketakutan itu,maka saya gagahkan jua untuk terus memberi nafas pada blog ini.

Kali ini,saya ingin bercerita.Bercerita tentang kehidupan saya jauh nun di perantauan.Sebetulnya saya tidak menginginkan laman ini menjadi suatu ruang yang membosankan dan terlampau serius,kerana sebenarnya saya sendiri bukanlah seorang yang serius seperti yang dianggap oleh ramai pihak,tapi terus-terang saya katakan,saya bukanlah seorang yang pandai menginterpretasikan perasaan melalui kata-kata.Mungkin kerana itulah penulisan saya semacam tidak ada jiwa,hambar dan terkadang membosankan.Saya akuinya kerana saya tidak menulis terus dari hati.Saya suka sekali membaca blog milik sahabat-sahabat saya,kerana bagi saya,mereka amat tulus dan jujur dalam meluahkan bait kata-kata.

Baiklah,berbalik kepada cerita saya.Saya ingin sekali berkongsi tentang kondisi saya di bumi Anbiya' ini dengan insan-insan yang saya sayangi.Saya akui,semenjak berada disini 3bulan yang lalu,saya tidak berkesempatan untuk menghubungi semua rakan-rakan saya di sekolah dahulu.Adakalanya saya memberi alasan sibuk dan kesuntukan masa,tetapi apabila direnung-renungkan kembali,banyak sebenarnya ruang dan peluang untuk melakukan semua itu,cuma saya sahaja yang tidak pandai memanfaatkannya.


~Bumi Urdun yang mendamaikan~

Akhirnya,saya menjejakkan jua kaki ini ke bumi Jordan.Sungguh saya seakan dan masih tidak percaya,tanah yang saya jejak selama 3 bulan ini,adalah tanah yang sama yang pernah para utusan Allah pijak dalam menyampaikan risalah tauhid yang suci itu.Tidak pernah saya sangka,begitu Allah mepermudahkan keinginan saya untuk kesini dengan begitu lancar sekali.Baru semalam terasa saya berbual dengan sahabat tentang impian untuk melanjutkan pelajaran masing-masing ke menara gading.Masih segar dalam ingatan saat kami begitu galak bercerita tentnag impian hidup masing-masing.Aduh,betapa pantasnya masa berlalu meninggalkan kita semua.Tanpa disedari,bertambahlah usia kita.

Seusai diumumkan keputusan SPM 2008 sekitar Mac yang lau,saya terus memohon biasiswa MARA untuk melanjutkan pelajaran ke timur tengah dalam bidang perubatan.Selepas berjaya,saya membuat persediaan selama 3bulan di INTEC [International Education Centre,UiTM,Shah Alam].Dan kini,sudah 3bulan saya disini,di bumi Jordan.


~Jalan utama berdekatan Sakan kami~


~Jordan University of Science & Technology [JUST]~

~Bangunan jamiah~

~Muzakarah ilmi~

Sesungguhnya berada di sini,perasaannya sangat sukar untuk digambarkan.Semasa berlepas ke mari,saya berasa sayu,namun saya gagahkan jua diri,kerana saya tidak ingin melihat umi dan abah serta adik-adik yang sudah sedia sedih menjadi bertambah sayu.Dan perasaan sedih itu saya bendung sehingga akhirnya air mata itu tumpah jua selepas genap 3minggu berada disini.

Berbalik kepada kehidupan disini,sungguh banyak untuk diceritakan,Tetapi,cukuplah sekadar saya berkongsi apa yang penting dahulu.InsyaAllah jika berkesempatan,saya akan bercerita dengan lebih terperinci.Sekurang-kurangnya keluarga dan sahabat-sahabat saya di Malaysia tahu saya kini ceria,aman dan bahagia~

Pada saya,hidup disini agak menarik,meski terkadang perasaan bosan dan ingin sahaja pulang ke tanah air menggigit-gigit nubari ini.Bermaknanya kehidupan kita ditentukan sepenuhnya oleh bagaimana bijaknyanya kita mengoles warna-warna itu pada kanvas kehidupan kita.Disini,saya cuba untuk mencari item-item kebahagiaan itu,yang penting untuk saya meneruskan kehidupan saya selama 6tahun lagi disini.


~Aidilfitri 1430,beraya di perantauan~

Apa yang saya tahu,saya tidak menyesal berada disini,berada disekeliling orang-orang ini.Berada jauh dari Malaysia banyak membuka mata saya,mengajar saya pelbagai erti dan definisi kehidupan yang sebenar.Sungguh,pasti saya akan menyesal jika tidak memanfaatkan sebaik-baiknya masa 6tahun ini.Harapan saya cuma satu,untuk kembali sebagai seorang muslimah mukminah mukhlisah yang baru,seorang protazah yang bakal sekurang-kurangnya memberi sedikit sumbangan bagi ummat.Saya ingin disambut oleh keluarga,sanak saudara dan sahabat-sahabat kelak sebagai seorang Nur Farah Aisyah yang baru.Dan sungguh,saya sedang berusaha keras ke arah itu.

Cukuplah sekadar disini sahaja coretan saya kali ini.Semoga Allah terus memberi kekuatan untuk diri ini menulis buat manfaat semua.Salam sayang buat semua yang mengenali.
Salam Adha 1430.Salam pengorbanan,salam tadhiah.~

Nota kaki:Saya rindukan umi,abah dan adik-adik.Saya rindukan kaum kerabat yang lain.Saya rindukan saat-saat ditarbiah bersama sahabat sefikrah dahulu.Saya rindukan pada kenangan silam.Ya Allah,sungguh aku rindu pada itu semua!


Rahmat di sebalik Ujian

Dalam kita menghadapi ujian, pasti ada jalan keluarnya.

Sebagai langkah pertama cuba fahami dan hayatilah pesanan Nabi Muhammad SAW yang berbunyi, "sebaik-baik ibadah ialah sabar menunggu jalan keluar". Ini bermakna tidak ada satu ujian pun yang akan kekal.

Mana mungkin ada malam yang tidak ada siang, pagi tanpa digantikan dengan petang, mana mungkin banjir berpanjangan dan tidak akan terjadi kemarau berpanjangan. Jika ini kenyataan yang terjadi bermakna Allah tidak pernah tidak adil pada makhluknya. Bagi memperhatikan lagi cinta Allah pada makhluk-Nya dan membuktikan lagi kehebatan Allah Yang Maha Adil maka dibekalkan makhluk-Nya dengan pesanan melalui surah Hud :81 yang berbunyi,

"Bukankah Subuh itu sudah tiba."

Subuh bermakna betapa pun panjangnya malam pekat pasti akan bertemu dengan waktu tamatnya. Oleh iu betapa pun berat dan panjangnya penderitaan yang ditanggung oleh hamba Allah, Dia telah menjelaskan pasti Allah menemukan saat penyembuhan untuk keluar daripada permasalahan itu. Subuh bermakna cahaya fajar bagi orang yang ditimpa kesedihan itu telah menyerlah. Maka pandai-pandailah merasai sapaan dan sentuhan suria pagi, tunggulah panasnya bebola mentari pagi sebagai tanda bahawa kemenangan telah datang dari Yang Maha Berkuasa.






Oleh itu, laluilah kehidupan dengan keyakinan,dan rasailah sentuhan Allah tidak pernah putus kepada kita hamba-Nya. Ini dipastikan dalam janji Allah bahawa Allah tidak pernah mengantuk, tidak pernah penat, berhenti mengurus langit dan bumi serta seluruh isinya. Anggaplah suatu permasalahan itu sebagai seperti seutas tali. Jika tali itu sudah sangat tegang, maka ia akan segera putus. Ertinya jika persoalan itu sudah kritis atau matang, maka tunggu kerana ia pasti akan berhenti dan ditemukan dengan jalan keluar.

Allah akan pastikan setiap kesedihan dan kegembiraan itu menemui penghujungnya. Ini ditegaskan lagi oleh Allah,

"Dan barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan kemudahan dalam urusannya." [65:4]

Ini janji Allah yang sangat pasti, maka bangunkan keyakinan dan panjatkan doa dan kesedihan kepada-Nya, pasti kita akan berasa bahawa kesedihan tidak berpanjangan kerana Allah tidak membenarkan keadaan itu terjadi selagi kita hambanya tidak berputus asa dari rahmat Allah. Sebab itu Allah menjanjikan,

"Maka, sesungguhnya bersama dengan kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan." [ 94:5-6]

Dengan syarat kita yakin sepenuhnya bahawa apa yang kita lakukan kerana Allah dan mahu mendapat reda Allah, bukan kerana manusia.

Sumber: www.iluvislam.com

Sunday, November 22, 2009

Monolog Tuhan pada hambaNya

Salam penuh barakah buat semua..Puisi yang indah ini saya temukan ketika membelek-belek beberapa laman sawang di alam maya..Moga kita dapat sama-sama menghayatinya..Ingatlah,Allah sentiasa sayangkan kita~


HambaKu menyombongkan diri terhadapKu
dengan pelbagai bentuk kemegahan
padahal Akulah yang melindungi mereka
di tempat tidur mereka
Aku yang menciptakan
namun yang disembahnya adalah selainKu
Aku yang memberi rezeki
namun selainKu yang disyukuri
kebaikanKu sentiasa turun kepada para hambaKu
tapi kejahatan merekalah yang naik kepadaKu
Aku mencintai mereka dengan memberikan mereka nikmat-nikmatKu
sedangkan Aku tidak memerlukan mereka
mereka memancing kemurkaanKu dengan pelbagai kemaksiatan
padahal mereka adalah yang paling perlu kepadaKu

Sesiapa yang datang kepadaKu maka
ia akan kujemput dari kejauhan
sesiapa yang berpaling dariKu
Aku akan memanggilnya dari kejauhan

Sesiapa yang meninggalkan sesuatu demi Aku
akan Kuberikan kepadanya lebih dari cukup
sesiapa yang menginginkan keredhaanKu
Aku pun menginginkan apa yang diinginkannya
Sesiapa yang bertindak dengan bergantung pada
daya dan kekuatanKu
maka akan Kulunakkan besi baginya
dan sesiapa yang lebih mementingkan Aku dari selainKu
Akua akan memetingkannya dari orang lain

Orang yang mengerjakan maksiat
tidak akan Kubuat mereka berputus asa dari rahmatKu
jika mereka bertaubat kepadaKu
maka aku akan menjadi kekasih mereka
sebab Aku mencintai orang-orang
yang bertaubat dan mensucikan diri
kalau mereka tidak bertaubat kepadaKu
maka aku akan bertindak sebagai Doktor mereka
akan Kuberikan cubaan kepada mereka dengan berbagai musibah
untuk membersihkan mereka dari berbagai aib

Satu kebaikan disisiKu adalah
senilai sepuluh kali ganda sepertinya
hingga tujuh ratus kali ganda
hingga ke gandaan yang banyak sekali
sedangkan kejahatan disisiKu adalah bernilai satu
maka jika ia telah menyesal dan memohon ampun
maka Aku pun mengampunkannya

Aku mensyukuri amal kebajikan yaang sedikit
dan mengampuni banyak kesalahan
Kasih sayangKu mendahului KemurkaanKu
Sifat penyantunKu
mendahului keputusanKu menjatuhi hukuman
pemberian maafKu lebih mendahului seksaanKu
Aku lebih pengasih kepada hamba-hambaKu
lebih daripada kasih sayang ibu terhadap anak-anaknya

Jika engkau mengingati Aku sendirian
Aku akan mengingati engkau di khalayak ramai
jika engkau mengingati Aku di khalayak ramai
Aku akan mengingati engkau di khalayak yang lebih baik dari itu

jika engkau datang kepadaKu berjalan
Aku akan datang kepadamu berlari
jika engkau menghampiriKu sehasta
Aku akan menghampirimu sejengkal



Thursday, November 05, 2009

Langkah Tercipta


To reach the top, the first step counts

Bismillah..

Dengan nama Tuhan yang Maha Pengasih, yang masih sayang pada aku dan kamu dengan memberikan kita peluang untuk terus meninggalkan jejak di bumiNya ini.

Alhamdulillah,segala puji bagi Dia yang menggerakkan segala sesuatu.

Alhamdulillah..

Akhirnya pada hari ini,lahirlah jua blog saya yang telah lama saya impikan.

Sebenarnya niat untuk mempunyai blog sendiri ini telah lama saya pasang semenjak dari zaman persekolahan menegah lagi.Melihat kepada rakan-rakan yang begitu ‘aggresif’ menulis blog dan berkongsi cerita hidup masing-masing di atas kanvas maya membuatkan saya begitu bersemangat untuk mengikuti jejak langkah mereka.Apatah lagi saya amat memandang tinggi kepada mereka yang mempunyai blog mereka sendiri.

Mengapa saya katakan begitu?

Menulis Memerlukan Keyakinan dan Keberanian

Saya kira bukan semua orang dilahirkan dengan bakat untuk menulis. Subhanallah, Maha Bijaksananya Dia kerana telah menciptakan ramai insan-insan yang telah berjaya mengetuk banyak hati-hati yang gersang,hanya melalui penulisan mereka. Jujurnya,saya begitu mencemburui dan memandang tinggi kepada sahabat-sahabiah yang mempunyai blog sendiri ,kerana pada hemat saya,mereka bukan sahaja berbakat,tetapi juga mereka mempunyai keyakinan dan keberanian.Keberanian untuk berkongsi pendapat dan buah fikiran masing-masing.Nampak mudah bukan?Hanya menaip apa yang terlintas dalam kotak fikiran,postkan dan kemudian dapat ditatap oleh seantero masyarakat.Tetapi bagi saya,menulis tetap payah.

Sangat payah.

Blog ini lahir setelah percubaan saya yang entah kali ke berapa. Sebelum ini saya sering juga mencuba untuk mempunyai blog sendiri,tapi selalunya ia akan berakhir tidak berapa lama sebelum sempat manusia lain menyedari akan kewujudan blog saya itu. Selalunya apabila ditanyakan soalan cepu mas, "Farah,takde blog ke?’’, pantas sekali saya menggelengkan kepala dan menguntumkan senyuman. Tidak pun,saya akan berkata ‘’Ade,tapi on the way.Tengah di-renovate.Sabar ye,hehe’’.

Begitulah jawapan yang sering kali saya berikan.Apabila saya katakan bahawa saya tidak mepunyai blog sendiri,ramai yang mencadangkan supaya saya menghasilkan satu.Bukan sedikit yang membuat permintaan untuk membaca blog hasil tulisan saya,tetapi pada masa itu saya masih rasa belum cukup bersedia.

Faktor Keengganan

Saya seringkali memarahi diri sendiri di atas ketidakupayaan untuk menghasilkan blog sendiri. Saya rasakan diri ini sangat lemah dan tidak berguna. Jujur,memang saya rasakan begitu. Mungkin ada di antara anda yang sedang membaca blog saya ini bertanya,ada apa dengan blog sehinggakan saya merasakan begitu teruk jika tidak mempunyainya?Seperti yang saya katakan sebelum ini,saya amat memandang tinggi orang-orang yang mempunyai blog ini dan mereka saya anggap sebagai orang-orang yang hebat. Jadi saya juga ingin menjadi orang yang hebat, kerana saya berpegang kepada kata-kata ini; “Islam itu hebat. Tidak akan memikulnya melainkan orang-orang yang hebat. Maka jadilah kamu orang yang hebat’’.

Lantas saya mengkoreksi diri,mencari apa punca sebenar saya tidak mampu menulis.Dan tahulah saya bahawa punca utama saya tidak mempunyai blog sehingga saat ini adalah kerana saya seorang yang perfectionist-terlalu mementingkan kesempurnaan dan juga saya memandang rendah tentang keupayaan diri sendiri. Setiap kali saya cuba untuk menulis sesuatu,saya terlalu memikirkan pandangan manusia lain tentang penulisan saya itu dan juga membandingkannya dengan penulisan orang lain. Setiap kali saya membaca blog orang lain, saya sering berkata kepada diri sendiri ‘’Ya Allah,sedapnya ayat dia ni. Aku tak reti la nak buat ayat macam ni’’. Kerana itulah blog-blog saya sebelum ini boleh saya perumpamakan seperti ‘hidup segan tapi tak mahu’.

Sedangkan pada hakikatnya,apa yang penting adalah pandangan Allah s.wt dan keikhlasan yang lahir dari hati untuk menyampaikan sesuatu.Saya juga sedar bahawa tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini. Jika saya ingin menunggu waktu hingga saya menjadi benar-benar sempurna dan hebat dalam bidang penulisan ini,sudah tentu sampai bila-bila saya tidak akan mempunyai blog saya sendiri. Jadi untuk menjadi seorang yang hebat dalam bidang penulisan ini,saya perlulah pertama sekali mencuba untuk menulis, as practice makes perfect. Bukankah begitu?

Jadi Mengapa Sekarang?

Jadi mengapa sekarang baru terbuka hati saya untuk menulis dan mempunyai blog sendiri?Dari manakah datangnya kekuatan dan keberanian ini?Siapakah yang memangkin saya untuk melakukan langkah yang saya kira agak besar dalam hidup saya ini?

Jawapannya adalah sebenarnya segala kekuatan ini datang dari Allah s.w.t melalui sedikit usaha dan doa dari saya hamba yang hina ini. Ya, kekuatan itu bukan hanya perlu ditunggu, tetapi perlu dicari dan dibina. Allah tidak akan membantu hambaNya sebelum dia menolong dirinya sendiri. Untuk beroleh kekuatan ini, bukan mudah. Saya juga hampir tidak percaya ayat-ayat yang telah anda baca sebelum ini datangnya dari saya.

Alhamdulillah,Alhamdulillah.

Keduanya,saya mendapat inspirasi untuk terus memaksa diri saya ini menulis setelah membaca blog seorang kakak senior saya yang saya kenali di bumi Jordan ini.Entahlah,setelah membaca blog beliau,timbul suatu semangat baru untuk meneruskan hasrat murni saya yang telah lama saya kuburkan dek pelbagai halangan dan alasan. Blog Ukht Syahida Majid itu bolehlah anda layari di sini.

Sebenarnya jika memikirkan tentang kelemahan diri ini,saya sebolehnya tidak mahu menulis. Iyalah,bimbang juga jika saya menjadi antara hamba yang mengundang kemurkaan Tuannya sendiri dengan menyebarkan ilmu yang salah kepada ummat. Tetapi atas kesedaran bahawa asas hidup ini adalah suatu perkongsian,maka saya gagahi jua langkah ini. Sebagaimana Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang menjadikan kata-kata ‘erti hidup pada memberi’ sebagai moto hidup beliau,saya juga bercita-cita untuk memenuhi hasrat Rasulullah s.a.w terhadap umatnya;

“Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat’’

Bukankah agama itu sendiri adalah nasihat? Maka blog ini saya ciptakan sebagai wadah dakwah dan medan nasihat,bukan untuk anda sahaja,tetapi terutama sekali buat diri saya sendiri. Saya juga merasakan suatu kerugian jika tidak dapat berkongsi mutiara-mutiara ilmu yang telah saya timba sejak dari alam persekolahan lagi dengan masyarakat. Sesungguhnya hak ilmu itu adalah untuk diamalkan dan disampaikan. Moga saya dapat menunaikan hak ilmu yang telah diberikan pada saya itu dengan sebaiknya.

Penutup Bicara

Harapannya,dengan kelahiran blog saya ini, dapat menjadi pembuka jalan buat saya dalam misi untuk menyumbangkan sesuatu kepada Islam. Ya, saya ingin menyumbangkan sesuatu pada agama yang saya sayangi ini. Dan menyedari bahawa dakwah melalui mata pena ini mempunyai kesan dan impak yang bukan sedikit dan kecil, semoga perkongsian yang hanyalah biasa-biasa ini mampu memberikan suatu nilai berharga buat ummah dan bukanlah biasa-biasa di pandangan Allah s.w.t. Moga langkah yang tercipta ini mampu mendekatkan saya dan anda sekalian setapak lebih akrab untuk merasai nikmat cintaNya. Saya juga mengalu-ngalukan sebarang cadangan positif dan kritikan membina dari anda semua. Moga kita sama-sama berada di bawah keredhaanNya. Dan doakanlah agar blog ini dapat terus bernafas dan memberikan ‘sesuatu’ hingga tiba penulis dijemput panggilan Tuhan yang sangat dicintainya. Ameen~



Quotes of the Day

''Ya Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami"

[18:10]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...