Dengan nama Tuhan yang Maha Pengasih, yang masih sayang pada aku dan kamu dengan memberikan kita peluang untuk terus meninggalkan jejak di bumiNya ini.
Alhamdulillah,segala puji bagi Dia yang menggerakkan segala sesuatu.
Alhamdulillah..
Akhirnya pada hari ini,lahirlah jua blog saya yang telah lama saya impikan.
Sebenarnya niat untuk mempunyai blog sendiri ini telah lama saya pasang semenjak dari zaman persekolahan menegah lagi.Melihat kepada rakan-rakan yang begitu ‘aggresif’ menulis blog dan berkongsi cerita hidup masing-masing di atas kanvas maya membuatkan saya begitu bersemangat untuk mengikuti jejak langkah mereka.Apatah lagi saya amat memandang tinggi kepada mereka yang mempunyai blog mereka sendiri.
Mengapa saya katakan begitu?
Menulis Memerlukan Keyakinan dan Keberanian
Saya kira bukan semua orang dilahirkan dengan bakat untuk menulis. Subhanallah, Maha Bijaksananya Dia kerana telah menciptakan ramai insan-insan yang telah berjaya mengetuk banyak hati-hati yang gersang,hanya melalui penulisan mereka. Jujurnya,saya begitu mencemburui dan memandang tinggi kepada sahabat-sahabiah yang mempunyai blog sendiri ,kerana pada hemat saya,mereka bukan sahaja berbakat,tetapi juga mereka mempunyai keyakinan dan keberanian.Keberanian untuk berkongsi pendapat dan buah fikiran masing-masing.Nampak mudah bukan?Hanya menaip apa yang terlintas dalam kotak fikiran,postkan dan kemudian dapat ditatap oleh seantero masyarakat.Tetapi bagi saya,menulis tetap payah.
Sangat payah.
Blog ini lahir setelah percubaan saya yang entah kali ke berapa. Sebelum ini saya sering juga mencuba untuk mempunyai blog sendiri,tapi selalunya ia akan berakhir tidak berapa lama sebelum sempat manusia lain menyedari akan kewujudan blog saya itu. Selalunya apabila ditanyakan soalan cepu mas, "Farah,takde blog ke?’’, pantas sekali saya menggelengkan kepala dan menguntumkan senyuman. Tidak pun,saya akan berkata ‘’Ade,tapi on the way.Tengah di-renovate.Sabar ye,hehe’’.
Begitulah jawapan yang sering kali saya berikan.Apabila saya katakan bahawa saya tidak mepunyai blog sendiri,ramai yang mencadangkan supaya saya menghasilkan satu.Bukan sedikit yang membuat permintaan untuk membaca blog hasil tulisan saya,tetapi pada masa itu saya masih rasa belum cukup bersedia.
Faktor Keengganan
Saya seringkali memarahi diri sendiri di atas ketidakupayaan untuk menghasilkan blog sendiri. Saya rasakan diri ini sangat lemah dan tidak berguna. Jujur,memang saya rasakan begitu. Mungkin ada di antara anda yang sedang membaca blog saya ini bertanya,ada apa dengan blog sehinggakan saya merasakan begitu teruk jika tidak mempunyainya?Seperti yang saya katakan sebelum ini,saya amat memandang tinggi orang-orang yang mempunyai blog ini dan mereka saya anggap sebagai orang-orang yang hebat. Jadi saya juga ingin menjadi orang yang hebat, kerana saya berpegang kepada kata-kata ini; “Islam itu hebat. Tidak akan memikulnya melainkan orang-orang yang hebat. Maka jadilah kamu orang yang hebat’’.
Lantas saya mengkoreksi diri,mencari apa punca sebenar saya tidak mampu menulis.Dan tahulah saya bahawa punca utama saya tidak mempunyai blog sehingga saat ini adalah kerana saya seorang yang perfectionist-terlalu mementingkan kesempurnaan dan juga saya memandang rendah tentang keupayaan diri sendiri. Setiap kali saya cuba untuk menulis sesuatu,saya terlalu memikirkan pandangan manusia lain tentang penulisan saya itu dan juga membandingkannya dengan penulisan orang lain. Setiap kali saya membaca blog orang lain, saya sering berkata kepada diri sendiri ‘’Ya Allah,sedapnya ayat dia ni. Aku tak reti la nak buat ayat macam ni’’. Kerana itulah blog-blog saya sebelum ini boleh saya perumpamakan seperti ‘hidup segan tapi tak mahu’.
Sedangkan pada hakikatnya,apa yang penting adalah pandangan Allah s.wt dan keikhlasan yang lahir dari hati untuk menyampaikan sesuatu.Saya juga sedar bahawa tiada manusia yang sempurna di atas muka bumi ini. Jika saya ingin menunggu waktu hingga saya menjadi benar-benar sempurna dan hebat dalam bidang penulisan ini,sudah tentu sampai bila-bila saya tidak akan mempunyai blog saya sendiri. Jadi untuk menjadi seorang yang hebat dalam bidang penulisan ini,saya perlulah pertama sekali mencuba untuk menulis, as practice makes perfect. Bukankah begitu?
Jadi Mengapa Sekarang?
Jadi mengapa sekarang baru terbuka hati saya untuk menulis dan mempunyai blog sendiri?Dari manakah datangnya kekuatan dan keberanian ini?Siapakah yang memangkin saya untuk melakukan langkah yang saya kira agak besar dalam hidup saya ini?
Jawapannya adalah sebenarnya segala kekuatan ini datang dari Allah s.w.t melalui sedikit usaha dan doa dari saya hamba yang hina ini. Ya, kekuatan itu bukan hanya perlu ditunggu, tetapi perlu dicari dan dibina. Allah tidak akan membantu hambaNya sebelum dia menolong dirinya sendiri. Untuk beroleh kekuatan ini, bukan mudah. Saya juga hampir tidak percaya ayat-ayat yang telah anda baca sebelum ini datangnya dari saya.
Alhamdulillah,Alhamdulillah.
Keduanya,saya mendapat inspirasi untuk terus memaksa diri saya ini menulis setelah membaca blog seorang kakak senior saya yang saya kenali di bumi Jordan ini.Entahlah,setelah membaca blog beliau,timbul suatu semangat baru untuk meneruskan hasrat murni saya yang telah lama saya kuburkan dek pelbagai halangan dan alasan. Blog Ukht Syahida Majid itu bolehlah anda layari di sini.
Sebenarnya jika memikirkan tentang kelemahan diri ini,saya sebolehnya tidak mahu menulis. Iyalah,bimbang juga jika saya menjadi antara hamba yang mengundang kemurkaan Tuannya sendiri dengan menyebarkan ilmu yang salah kepada ummat. Tetapi atas kesedaran bahawa asas hidup ini adalah suatu perkongsian,maka saya gagahi jua langkah ini. Sebagaimana Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang menjadikan kata-kata ‘erti hidup pada memberi’ sebagai moto hidup beliau,saya juga bercita-cita untuk memenuhi hasrat Rasulullah s.a.w terhadap umatnya;
“Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat’’
Bukankah agama itu sendiri adalah nasihat? Maka blog ini saya ciptakan sebagai wadah dakwah dan medan nasihat,bukan untuk anda sahaja,tetapi terutama sekali buat diri saya sendiri. Saya juga merasakan suatu kerugian jika tidak dapat berkongsi mutiara-mutiara ilmu yang telah saya timba sejak dari alam persekolahan lagi dengan masyarakat. Sesungguhnya hak ilmu itu adalah untuk diamalkan dan disampaikan. Moga saya dapat menunaikan hak ilmu yang telah diberikan pada saya itu dengan sebaiknya.
Penutup Bicara
Harapannya,dengan kelahiran blog saya ini, dapat menjadi pembuka jalan buat saya dalam misi untuk menyumbangkan sesuatu kepada Islam. Ya, saya ingin menyumbangkan sesuatu pada agama yang saya sayangi ini. Dan menyedari bahawa dakwah melalui mata pena ini mempunyai kesan dan impak yang bukan sedikit dan kecil, semoga perkongsian yang hanyalah biasa-biasa ini mampu memberikan suatu nilai berharga buat ummah dan bukanlah biasa-biasa di pandangan Allah s.w.t. Moga langkah yang tercipta ini mampu mendekatkan saya dan anda sekalian setapak lebih akrab untuk merasai nikmat cintaNya. Saya juga mengalu-ngalukan sebarang cadangan positif dan kritikan membina dari anda semua. Moga kita sama-sama berada di bawah keredhaanNya. Dan doakanlah agar blog ini dapat terus bernafas dan memberikan ‘sesuatu’ hingga tiba penulis dijemput panggilan Tuhan yang sangat dicintainya. Ameen~
Quotes of the Day
''Ya Tuhan kami, berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami"
[18:10]
crite kte buat blog lbh krg sme je...tp lain ckit,,,ana skrg ni da mls nk update blog..ad ap2 tips x?blog ana(http://al-yaakubi.blogspot.com/) mcm da hambar..
ReplyDelete