Tuesday, May 28, 2013

Ibu, Aku Sayang Kamu (I)


Tiada kecintaan yang selayaknya ditumpahkan selepas cinta kepada Allah dan Rasul melainkan untuk bonda dan ayahanda tercinta. Tanpa mereka, siapalah kita.

Mari bersama belajar menyuburkan rasa cinta  buat permata hati kita, yang telah banyak berkorban dan membesarkan kita selama ini dengan penuh cinta dan kasih sayang. Semoga Allah merahmati kedua ibu bapa kita di dunia dan akhirat.

InsyaAllah saya akan berkongsi beberapa isi menarik yang dicedok dari buku 'Sejuta Cinta untuk Ibunda', karya Burhan Sodiq. Semoga kita semua diizinkan Allah dan diberi kekuatan untuk menjadi anak yang soleh, ameen :)



Bab #1: Ibu, Aku Sayang Kamu - Etika Mencintai Ibu Bapa

1. Bersikap hormat dalam keadaan apa jua emosi sekalipun. Munkin kita pernah marah, pernah kecewa, tetapi perasaan itu sebaik-baiknya tidak mengurangkan rasa hormat kita kepada kedua-dua ibu bapa kita. Tetap tenang dan tetap bijak menjaga emosi dengan baik.

2. Jangan membantah apabila ada pendapat yang berbeza. Pendapat perlu disampaikan dengan cara yang halus dan sopan, bukan dengan keras. Beza generasi, beza usia, beza pengalaman membuatkan ruang perbezaan semakin luas. Jangan bersikap kasar dengan mengeluarkan perkataan yang tidak sopan. Tetaplah menjaga etika dengan mereka.

3. Bagaimana sekalipun perasaan kita pada masa itu, jangan berteriak, membentak, bersauar dan bernada keras dalam berbicara dengan ibu bapa. Ya, memang sangat susah mengendalikan emosi ketika marah, tetapi cubalah lakukan dengan baik. Insya Allah, semuanya dapat diatasi dengan baik.

4. Meminta izin dan mencium tangan ibu bapa sebelum pergi atau selepas pulang. Kita menerapkan hal ini berdasarkan apa yang ibu bapa kita ajarkan sewaktu kita masih kecil dahulu. Kita pasti dapat merasakan kesan positif hasil tabiat ini.

5. Jangan sekali-kali memarahi ibu bapa walaupun ada yang kita rasakan tidak betul pada mereka. Teguran mesti disampaikan secara sopan. Mengapa perkara ini disampaikan berulang kali, kerana ia penting untuk kita perhatikan. Jangan sekali-kali membentak mereka meskipun mereka di pihak yang salah.



6. Jangan mengajari, menasihati atau memberi ceramah kepada ibu bapa. Apabila mahu memberi pandangan atau apabila ibu bapa meminta pendapat kita, perlulah diberikan dengan sopan dan berhikmah. Mungkin banyak perbezaan pandangan, pendapat, pengetahuan dalam banyak perkara yang tidak mungkin pernah sama. Tetapi mereka berhak mendapatkan cinta dan sayang dari kita.

7. Jangan sekali-kali menyampuk perbicaraan ibu bapa. Ini etika asas yang mesti difahami dengan betul. Jika etika ini kita terus lakukan sehingga dewasa, ini akan menjadi nilai yang baik. Kita tahu bila sepatutnya bercakap dan bila kita perlu memerhati dengan baik. Kebolehan mendengar dan memerhati dengan baik jarang dimiliki kebanyakan orang. Sebahagian besar orang hanya pandai dalam hal percakapan, tetapi cukup runsing apabila perlu mendengar dengan baik percakapan orang lain.

8. Mengutamakan atau mendahulukan ibu bapa dalam segala aktiviti seperti memberikan tempat duduk, memulakan makan minum dan sebagainya. Akhlaq ini jarang kita dapati pada jiwa anak muda hari ini.

9. Jangan sekali-kali menyentuh kepala ibu bapa apabila sedang berhadapan atau berkomunikasi kecuali untuk tindakan tertentu seperti memotong rambut.

10. Apabila berhadapan dan berbicara dengan ibu bapa mesti bersikap sopan, tidak bercekak pinggang, tidak melutut, tidak bersuara keras dan membentak.

11. Apabila melihat ibu bapa dalam kesusahan seperti mengangkat beban berat dan mengerjakan pekerjaan berat lain, tanpa diminta kita sepatutnya segera membantu.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...