Anak itu permata, penyejuk mata ayah bonda
Gambar: Sepupuku Ahmad Muizzuddin
Dengan nama Allah yang sentiasa ada dibelakang hamba-hambaNya yang tahu untuk bersyukur, semoga kita sama-sama tegar menghirup udara kehambaan dikala amanah sebagai khalifah makin membebankan pundak.
Salam buat pembaca sekalian.
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi kesyukuran atas setiap inci nikmat yang dikurniakanNya buat kita pada hari ini. Sudahkah kita membuktikan rasa syukur kita padaNya hari ini?
Alhamdulillah, Allah masih lagi menyayangi diri ini kerana masih belum diatrik lagi nikmat untuk menyampaikan walau sedikit ilmu yang dangkal buat teman-teman. Kali ini tergerak untuk berkongsi rasa perihal sang anak, si comel cahaya mata, penyejuk mata.
Anak,
tiadalah hadiah yang paling berharga buat sepasang suami isteri yang berkasih sayang melainkan kehadiran insan bernama anak, permata hati, cahaya mata yang menjadi penyeri mahligai bahagia.
Sayang, lahirnya dikau diiringi kesyukuran dan kegelisahan
Syukur ke hadrat Ilahi kerana pada hari Isnin yang lalu [5 April], ibu saudara saya yang mesra dipanggil sebagai Che Lah selamatkan melahirkan seorang putera lelaki yang cukup fizikalnya. Tahniah kakak ucapkan pada Che Lah dan Ayah Mae atas kelahiran putera ketiga.
Berita kelahiran sepupu saya ini disambut dengan penuh rasa syukur pada Allah s.w.t. Saya sememangnya menyukai kanak-kanak terutamanya bayi dan bercita-cita untuk menjadi seorang pakar Paediatrik suatu hari nanti, insyaAllah. Namun, dalam kegembiraan menyambut kehadiran insan baru ini, ada kegelisahan yang terselit. Entah mengapa, saya jadi agak bimbang dengan nasib sepupu saya ini.
Bagaimanakah nasibmu suatu hari nanti saudaraku?
Mengenangkan realiti semasa umat akhir zaman yang kian merosot nilai Aqidah dan akhlaqnya, saya jadi gerun memikirkan betapa besarnya tanggungjawab ibu bapa dalam membentuk dan mencorakkan peribadi anak-anak.
Benarlah, anak-anak itu lahirnya mereka umpama kain putih, suci bersih dari sebarang noda, yang bakal memalitkan warna-warna tarbiyah di atas kanvas kehidupan mereka adalah ibu dan bapa mereka.
Rasulullah juga pernah bersabda, yang mafhumnya antara lain mengatakan bahawa majusinya atau nasraninya seorang anak itu bergantung pada kebijaksanaan orang tua mereka mendidiknya.
Oh, besarnya amanah dan tanggungjawab seorang ibu dan ayah!
Tiada yang salah dengan merancang dan berfikiran jauh
Pandanglah kehadapan, dan rancang hidupmu
Gambar oleh: Wan Nurhana Wan Hassan
Kelahirannya sepupu saya yang satu ini membuatkan saya terfikir sejenak,
"sudah bersediakan untuk aku menjadi seorang ibu yang mithali nanti?''
Meskipun perjalanan ke arah itu masih jauh dan panjang, namun saya kira persoalan itu harus difikirkan oleh setiap remaja wanita agar dapat membuat persediaan sewajarnya.
Benar, walaupun kita masih muda, ada segunung cita-cita yang perlu dikejar dahulu, namun saya kira persediaan memang sangat penting. Sebagaimana saya perlu menyiapkan diri untuk menjadi seorang isteri yang solehah buat suaminya kelak, saya juga perlu bersedia untuk menjadi seorang ibu yang berperanan mendidik umat Muhammad.
Seharusnya setiap wanita perlu menanam cita-cita agar dari rahim mereka akan lahirnya khalifah dan pejuang sehebat Sultan Muhammad Al-Fateh, segagah Khalid Al-Walid dan sebijak Salahuddin Al-Ayubi yang bakal menyambung mata rantai perjuangan Baginda S.A.W dalam mendaulatkan Islam kembali di peta dunia.
Tanpa persediaan, huru-haralah jadinya
"Those who fail to plan are planning to fail"
Benarlah, wawasan dan cita-cita itu perlu sentiasa ada. Kita perlu berpandangan jauh di dalam hidup ini. Meski kita tidak pasti bila ajal bakal bertamu, namun berharap dan merancang masa depan adalah ciri mukmin yang dikasihi oleh Allah, kerana tidak hanya berserah kepada takdir, sebaliknya berusaha untuk memperbaiki takdirnya menjadi lebih baik!
Jika engkau gagal untuk berpandangan jauh, maka takutlah engkau akan menjadi hamba yang tidak dapat menghayati kehidupan hakiki selepas mati.
Jika gagal untuk melihat ke depan, maka usaha untuk menambah bekal buat perjalanan yang jauh di sana akan dibuat secara ala kadar sahaja!
Realitinya, kelambakan kes sosial pembuangan bayi adalah lantaran soal ketidaksediaan ibu dan bapa yang sudah hilang rasa manusianya. Jika mereka benar-benar bersedia menjadi seorang ibu atau bapa, jika mereka insaf akan hakikat kehadiran zuriat sebagai suatu amanah dari Allah, maka tergamakkah mereka melakukan perbuatan terkutuk itu?
Sungguh, saya amat terkilan dengan manusia akhir zaman ini. Kebanyakan daripada kita hanya pandai 'membuat' anak sahaja,tetapi tidak pandai mendidik, maka akhirnya anak yang seharusnya boleh menjadi aset berharga buat agama dan ummah, malah sebaliknya menjadi sampah kepada masyarakat. Nauzubillahi min zalik!
Menjadi anak soleh demi melahirkan generasi yang lebih soleh
Untuk menjadi ibu yang mithali, maka kita seharusnya menjadi anak mithali dahulu.
Namun, bukanlah bermakna jika seorang anak yang tidak berapa soleh itu adalah kerana ibu bapanya tidak soleh juga.
"Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertaqwa.
Iman tak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai."
Tetapi keimanan itu perlukan usaha sendiri, dan sudah tentu perana ibu bapa sangat penting.
Jangan disalahkan ibu bapa jika engkau lewat mendapat hidayahNya.
Jangan disalahkan mereka jika engkau kurang ilmu agama.
Tetapi mulakanlah dengan diri sendiri. Mulakan langkah untuk menjadi seorang bakal ayah atau ibu yang baik dengan menjadi seorang anak yang baik dahulu. Walau seburuk mana pun orang tua kita, keredhaan Allah tetap terletak pada keredhaan mereka.
Penutup
Untuk memberi, kita harus mempunyai. Justeru, lengkapkanlah dirimu dengan bekal yang secukupnya, agar suatu hari nati, tika engkau menyambut kelahiran insan yang tersayang itu, engkau sudah sekurang-kurangnya bersedia dan mampu untuk memberi.
Memberi kasih sayang, memberi tarbiyah dan memberi segala-galanya yang perlu buat seorang anak, agar lahirnya dia sebagai seorang abid, daie dan jua khalifah.
Sesungguhnya kita bertanggungjwab di atas nasib zuriat dan generasi kita kelak. Andai kata diri sendiri rosak, jangan dikesalkan anak-anak lebih punah!
Wallahua'lam, cetusan hati dari insan yang jauh dari kesempurnaan dan kematangan~
***
Wahai sepupuku yang dikasihi, membesarlah kamu sebagai seorang rijal penyambung mata rantai perjuangan Baginda S.A.W. Moga lahirnya kamu sayang di dunia ini, menambahkan seorang lagi umat kebanggan Islam, bukanlah sebaliknya, InsyaAllah. Moga kamu membesar dengan sempurna!~
***
Nota kaki: Teruja dalam resah menantikan kehadiran adinda baru, seorang lagi 'Nur Farah' yang bakal melihat dunia insyaAllah pada Jun ini. Doakan keselamatan ibu dan anak. Umi, kakak berjanji, tanggungjawab mendidik puteri yang bakal dilahirkan kelak, bukan hanya tanggungjawab umi dan abah, tetapi jua tanggungjawab kami kakak-kakaknya,insyaAllah.
No comments:
Post a Comment