Saturday, April 10, 2010

Bakal isteri dan ibu,seharusnya bagaimanakah dirimu?



Bagi saya, bertemu dengannya bagai bertemu dengan seorang pendita. Lidahnya petah menuturkan kata-kata yang sarat dengan makna. Justeru dalam sela-sela waktu yang terluang, saya terus mengunjunginya. Pada saya, dia insan istimewa. Biarlah saya singkatkan panggilanya dengan gelaran Tok Wan sahaja.

***

Masih teringat kata-katanya sewaktu saya meminta nasihat tentang panduan mendidik anak perempuan. Maklumlah, majoriti anak-anak saya lelaki. Adakalanya bagai ketandusan idea dan cara untuk berdepan dengan karenah anak perempuan.

"Perlu banyak meraikan."

Begitu kata Tok Wan apabila ditanya tentang tips mendidik anak perempuan.

"Meraikan bagaimana?"

"Raikan mereka dengan kata-kata, belaian dan pemberian. Itu caranya."

"Maksudnya?"

"Hargai pandangan, kegembiraan, kesedihan, kejayaan dan kegagalannya. Selalu ucapkan tahniah, takziah pujian dan pujukan. Pada ketika yang sesuai, berilah hadiah."

"Kenapa Tok Wan?"

"Umumnya perempuan makhluk perasaan berbanding lelaki makhluk akal. Pendekatan meraikan lebih berkesan bila berdepan dengan perasaan. Pendekatan ini lebih menyentuh dan berkesan."

"Itu pendekatannya, bagaimana prinsip asasnya?"

"Wah, kamu bertanya macamlah Tok Wan ni seorang professor!"

Tok Wan bergurau. Sejenak kemudian, sambil tersenyum dia berkata, "Itu kena bayangkan...bakal isteri, kemudian bakal ibu!"

Wah, Tok Wan sudah mula bersilat kata! Saya perlu lebih kritis menyoalnya.

"Bayangkan bakal isteri? Isteri saya?" usik saya.

***

"Anak perempuan kita bakal seorang isteri. Jadi bayangkan bagaimana sifat seorang isteri sejati. Itulah 'end in mind' yang perlu sewaktu kita mendidik anak perempuan," jelas Tok Wan yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan Barat itu.

Belum sempat saya mencelah, soalan Tok Wan mula menerjah,

"Apa yang kau inginkan daripada seorang isteri?"

"Ketaatan," balas saya cepat.

"Lalu didiklah anak perempuan tentang ketaatan. Latih agar dia patuh pada perintah yang baik. Apa lagi?"

"Malu."

"Didik supaya dia mengekalkan rasa malu pada tempat dan ketikanya. Latih dia sentiasa menjaga aurat, tidak meninggikan suara dan tidak lasak pada gerak fizikalnya. Ajar erti maruah dan harga diri. Lagi?

"Cantik..."

"Wah, tak lupa ya... Latih supaya dia menjaga kecantikan tingkah laku, wajah, pakaian, tempat tinggal, bilik dan lain-lain. Biar dia pandai menjaga kekemasan, kecantikan dan keindahan. Biar dia peka dengan nilai-nilai estetika. Lagi?"

***

Saya diam. Dalam ruang fikiran tergambar isteri saya - ibu anak perempuan saya.

"Kau lupa agaknya..." usik Tok Wan.

"Tok Wan laju sangat..."

"Anak perempuan mesti dibiasakan suka berada di rumah. Bukan bermakna dia tidak boleh keluar, tapi biasakan dia suka di rumah. Rumah adalah gelanggang wanita. Ruang itu kecil tapi besar peranannya. Ketika suami keluar, isterilah pemimpin anak-anak dan pelindung hartanya."

"Ini payah sikit Tok Wan, sekarang ni perempuan dah luas gelanggangnya!"

"Ah, kekadang yang luas hanya gelanggangnya, tapi kecil peranannya. Sedangkan di rumah walaupun kecil gelanggangnya, tapi besar peranannya. Pernah dengar madah, tangan yang mengayun buaian boleh menggoncang dunia?"

***

"Tadi Tok Wan kata, kena bayangkan juga bakal ibu."

"Apa yang paling kau hargai daripada seorang ibu?"

"Kasih sayangnya."

"Didklah agar anak perempuan bersifat pengasih. Pengasih dengan adiknya, abang, kakak, binatang peliharaan dan sebagainya. Sebab tu anak perempuan digalakkan bermain dengan anak patung. Itu menyuburkan rasa kasih sayang kepada bayi. Lagi?"

"Sabar."

"Seorang ibu perlu sabar; sabar menanggung perit kehamilan, sakit melahirkan, menjaga sakit-demam, ragam dan karenah anak. Tanamkan sifat sabar anak perempuan dalam menanggung kesakitan, keletihan, kekecewaan dan sebagainya."

***

"Bila berdepan dengan anak perempuan, bayangkan kita berdepan dengan bakal isteri. Adakah menantu lelaki kita nanti akan mendapat isteri yang solehah? Bayangkan kita berdepan dengan bakal ibu, adakah cucu kita kelak bakal mendapat ibu yang mithali?"

"Lagi Tok Wan?"

"Untuk menjadi seorang ayah yang baik kepada anak perempuannya, lelaki mestilah menjadi seorang anak yang baik kepada ibunya dan suami yang baik kepada isterinya!"

"Lagi Tok Wan?"

"Last but not least, yang hendak mendidik itu wajib baik kepada Tuhannya!"

Saya terdiam. Diam yang panjang. Perlukah saya menyoal lagi?

[dipetik dari buku Nota Hati Seorang Lelaki, nukilan Pahrol Mat Juoi]



2 comments:

  1. Kerosakan wanita itu bermula apabila mereka sudah mula senang dok kat luar berbanding kat rumah. Wallahualam.

    ReplyDelete
  2. Betul tu..suatu peringatan yang baik buat diri ini..Syukran!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...