Monday, November 03, 2014

One Step Closer

Bismillah.

Lama sungguh tidak menulis di ruangan ini. Pejam celik pejam celik, Alhamdulillah sudah diizinkanNya untuk ke Tahun 5 di sekolah perubatan. Hanya tinggal berbaki kurang lebih 1 tahun 7 bulan sebelum khirij pada Jun 2016 insyaAllah. Subhanallah pantasnya masa berlalu!

Sekarang sudahpun berada di rotation ke 2 daripada 11 rotation pada Tahun 5, Psikiatri selepas sebulan bersama dengan Submajor rotation Family Medicine. Masih ada lagi baki Anesthesiology, Radiology, Forensic, Orthopedics, O&G, ENT, Neurology & Neurosurgery, Dermatology, Opthalmology.

Kata senior, tahun 5 ini adalah tahun bulan madu buat pelajar klinikal - mungkin kerana kepelbagaian rotation dan masa yang singkat bagi setiap rotation (Major 2 bulan, Submajor 1 bulan, Minor 2 minggu) menyebabkan kami tidak sempat merasa bosan.

Setakat ini, memang terasa sungguh bagai berbulan madu,hehe. Masakan tidak, sebulan bersama Family Medicine, kami hanya perlu untuk ke Markaz Sihhi setiap hari, yang jaraknya hanya 10 minit berjalan kaki dari rumah. Ada suatu perasaan bahagia yang tak dapat digambarkan apabila dapat berjalan kaki setiap hari ke sekolah berbanding ke hospital-hospital lain yang agak jauh. Kehadiran juga sangat memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Saya akui, saya lebih bersemangat menghadapi tahun 5 ini, mungkin kerana Allah telah menyingkap sedikit demi sedikit keseronokan dan kebahagiaan dalam bidang perubatan ini :)

Sistem pengajian perubatan di JUST secara khususnya terbahagi kepada dua fasa, fasa preklinikal (Tahun 1 hingga Tahun 3) dan fasa preklinikal (Tahun 4-6).

Secara mudah, semasa di alam preklinikal, kami diajar tentang Basic Science Subjects seperti Anatomy, Physiology, Pathology, Pharmacology, Biochemistry, Epidemiology dan lain-lain, serta Organ Systems seperti Cardiovascular System (CVS), Hematopoietic & Lymphatic System (HLS), Gastrointestinal System (GIS) dan lain-lain. InsyaAllah jika tiada aral berhajat juga untuk menulis sedikit pengalaman sepanjang 4 tahun di zaman preklinikal (saya mengulang tahun 2 sebanyak 2 kali)

Untuk klinikal pula, sistem pembelajaran kami dibahagikan seperti berikut:

Tahun 4: Introduction to Clinical Medicine (1 bulan), Surgery I, Paediatrics I,                Internal Medicine I (2 bulan)
Tahun 5: 1. Major - 2 bulan: O&G
             2. Submajor - 1 bulan: Family Medicine, Psychiatry
             3. Minor - 2 minggu: Anesthesiology, Radiology, Forensic,                
                 Orthopedics, ENT, Neurology & Neurosurgery, Dermatology, 
                 Opthalmology
Tahun 6: Surgery II, Paediatrics II, Internal Medicine II, O&G II, Elective 
             (Attachment di mana-mana hospital di mana-mana negara selama 2 
             bulan)

Beza antara rotation di Tahun 4 dan Tahun 6 adalah di Tahun 4, kami hanya berfokus pada introduction and pathophysiology of the related disease, manakala di Tahun 6 pula kami sudah perlu menghadap bahagian management pesakit dan penyakit.

Setelah sekian lama meninggalkan dunia blog, mengapa tiba-tiba kembali menulis?

Apabila masuk ke Tahun 5 ini, terasa agak rugi jika pengalaman menarik sepanjang bertemu pesakit tidak direkodkan secara sistematik untuk kenangan masa hadapan. Kata senior, tahun semasa belajar inilah tahun yang terbaik dalam kehidupan seseorang, tidak akan sama ketika di alam kerjaya kelak.

Saya sebenarnya sudah pun mula mencoret beberapa pengalaman ketika di rotation Family Medicine dan Psychiatry di FB, dan saya rasakan ada baiknya untuk saya kumpulkannya di sini.

Dan oh ye, menulis itu sebenarnya adalah satu hobi dan terapi buat saya. Saya sebenarnya bukanlah seorang yang fasih dan mampu menyampaikan sesuatu melalui lisan dengan baik (kecuali setelah berlatih beberapa kali), kekuatan saya adalah melalui tulisan. InsyaAllah, semoga ada manfaatnya melalui coretan-coretan saya disini.

Disinilah tempat yang menjadi saksi kedewasaan saya.

Sehingga itu, Assalamualaikum :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...