Barangkali, wabak Al-Futur itu adalah wabak yang paling berbahaya dalam kehidupan para Amilin, kerana itulah Dr. Al-Syed Muhammad Noh meletakkan ‘Al-Futur’ sebagai wabak nombor satu dalam buku karangannya yang bertajuk ‘Wabak Sepanjang Jalan’ [Aafat ‘alat Toriq].
Bagi mereka yang biasa dengan alam perjuangan, maka kalimah Al-Futur inilah yang sangat-sangat digeruni dan ditakuti. Dalam sebuah perjalananan kehidupan, sudah pastinya kita mengimpikan gambaran yang ideal, di mana kita dapat terus-terusan berlari ke arah kecemerlangan tanpa sebarang halangan atau perhentian.
Namun, sejarah mengajar kita, idealnya kehidupan ini adalah ianya tidak ideal seperti yang diimpi. Jatuh bangun dan kegagalan itulah yang sebenarnya yang memberikan kehidupan itu erti. Pasti, dalam keghairahan bergerak medukung Islam, Futur sekali sekala datang menyinggah.