Monday, April 05, 2010

Kehadiran istimewa yang dinanti


Anak itu permata, penyejuk mata ayah bonda
Gambar: Sepupuku Ahmad Muizzuddin


Dengan nama Allah yang sentiasa ada dibelakang hamba-hambaNya yang tahu untuk bersyukur, semoga kita sama-sama tegar menghirup udara kehambaan dikala amanah sebagai khalifah makin membebankan pundak.

Salam buat pembaca sekalian.

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi kesyukuran atas setiap inci nikmat yang dikurniakanNya buat kita pada hari ini. Sudahkah kita membuktikan rasa syukur kita padaNya hari ini?

Alhamdulillah, Allah masih lagi menyayangi diri ini kerana masih belum diatrik lagi nikmat untuk menyampaikan walau sedikit ilmu yang dangkal buat teman-teman. Kali ini tergerak untuk berkongsi rasa perihal sang anak, si comel cahaya mata, penyejuk mata.

Anak,

tiadalah hadiah yang paling berharga buat sepasang suami isteri yang berkasih sayang melainkan kehadiran insan bernama anak, permata hati, cahaya mata yang menjadi penyeri mahligai bahagia.

Sayang, lahirnya dikau diiringi kesyukuran dan kegelisahan

Syukur ke hadrat Ilahi kerana pada hari Isnin yang lalu [5 April], ibu saudara saya yang mesra dipanggil sebagai Che Lah selamatkan melahirkan seorang putera lelaki yang cukup fizikalnya. Tahniah kakak ucapkan pada Che Lah dan Ayah Mae atas kelahiran putera ketiga.

Berita kelahiran sepupu saya ini disambut dengan penuh rasa syukur pada Allah s.w.t. Saya sememangnya menyukai kanak-kanak terutamanya bayi dan bercita-cita untuk menjadi seorang pakar Paediatrik suatu hari nanti, insyaAllah. Namun, dalam kegembiraan menyambut kehadiran insan baru ini, ada kegelisahan yang terselit. Entah mengapa, saya jadi agak bimbang dengan nasib sepupu saya ini.

Bagaimanakah nasibmu suatu hari nanti saudaraku?

Mengenangkan realiti semasa umat akhir zaman yang kian merosot nilai Aqidah dan akhlaqnya, saya jadi gerun memikirkan betapa besarnya tanggungjawab ibu bapa dalam membentuk dan mencorakkan peribadi anak-anak.

Benarlah, anak-anak itu lahirnya mereka umpama kain putih, suci bersih dari sebarang noda, yang bakal memalitkan warna-warna tarbiyah di atas kanvas kehidupan mereka adalah ibu dan bapa mereka.

Rasulullah juga pernah bersabda, yang mafhumnya antara lain mengatakan bahawa majusinya atau nasraninya seorang anak itu bergantung pada kebijaksanaan orang tua mereka mendidiknya.

Oh, besarnya amanah dan tanggungjawab seorang ibu dan ayah!

Tiada yang salah dengan merancang dan berfikiran jauh

Pandanglah kehadapan, dan rancang hidupmu
Gambar oleh: Wan Nurhana Wan Hassan

Kelahirannya sepupu saya yang satu ini membuatkan saya terfikir sejenak,

"sudah bersediakan untuk aku menjadi seorang ibu yang mithali nanti?''

Meskipun perjalanan ke arah itu masih jauh dan panjang, namun saya kira persoalan itu harus difikirkan oleh setiap remaja wanita agar dapat membuat persediaan sewajarnya.

Benar, walaupun kita masih muda, ada segunung cita-cita yang perlu dikejar dahulu, namun saya kira persediaan memang sangat penting. Sebagaimana saya perlu menyiapkan diri untuk menjadi seorang isteri yang solehah buat suaminya kelak, saya juga perlu bersedia untuk menjadi seorang ibu yang berperanan mendidik umat Muhammad.

Seharusnya setiap wanita perlu menanam cita-cita agar dari rahim mereka akan lahirnya khalifah dan pejuang sehebat Sultan Muhammad Al-Fateh, segagah Khalid Al-Walid dan sebijak Salahuddin Al-Ayubi yang bakal menyambung mata rantai perjuangan Baginda S.A.W dalam mendaulatkan Islam kembali di peta dunia.

Tanpa persediaan, huru-haralah jadinya

"Those who fail to plan are planning to fail"

Benarlah, wawasan dan cita-cita itu perlu sentiasa ada. Kita perlu berpandangan jauh di dalam hidup ini. Meski kita tidak pasti bila ajal bakal bertamu, namun berharap dan merancang masa depan adalah ciri mukmin yang dikasihi oleh Allah, kerana tidak hanya berserah kepada takdir, sebaliknya berusaha untuk memperbaiki takdirnya menjadi lebih baik!

Jika engkau gagal untuk berpandangan jauh, maka takutlah engkau akan menjadi hamba yang tidak dapat menghayati kehidupan hakiki selepas mati.

Jika gagal untuk melihat ke depan, maka usaha untuk menambah bekal buat perjalanan yang jauh di sana akan dibuat secara ala kadar sahaja!

Realitinya, kelambakan kes sosial pembuangan bayi adalah lantaran soal ketidaksediaan ibu dan bapa yang sudah hilang rasa manusianya. Jika mereka benar-benar bersedia menjadi seorang ibu atau bapa, jika mereka insaf akan hakikat kehadiran zuriat sebagai suatu amanah dari Allah, maka tergamakkah mereka melakukan perbuatan terkutuk itu?

Sungguh, saya amat terkilan dengan manusia akhir zaman ini. Kebanyakan daripada kita hanya pandai 'membuat' anak sahaja,tetapi tidak pandai mendidik, maka akhirnya anak yang seharusnya boleh menjadi aset berharga buat agama dan ummah, malah sebaliknya menjadi sampah kepada masyarakat. Nauzubillahi min zalik!

Menjadi anak soleh demi melahirkan generasi yang lebih soleh

Untuk menjadi ibu yang mithali, maka kita seharusnya menjadi anak mithali dahulu.

Namun, bukanlah bermakna jika seorang anak yang tidak berapa soleh itu adalah kerana ibu bapanya tidak soleh juga.

"Iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertaqwa.
Iman tak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai."

Tetapi keimanan itu perlukan usaha sendiri, dan sudah tentu perana ibu bapa sangat penting.

Jangan disalahkan ibu bapa jika engkau lewat mendapat hidayahNya.

Jangan disalahkan mereka jika engkau kurang ilmu agama.

Tetapi mulakanlah dengan diri sendiri. Mulakan langkah untuk menjadi seorang bakal ayah atau ibu yang baik dengan menjadi seorang anak yang baik dahulu. Walau seburuk mana pun orang tua kita, keredhaan Allah tetap terletak pada keredhaan mereka.

Penutup

Untuk memberi, kita harus mempunyai. Justeru, lengkapkanlah dirimu dengan bekal yang secukupnya, agar suatu hari nati, tika engkau menyambut kelahiran insan yang tersayang itu, engkau sudah sekurang-kurangnya bersedia dan mampu untuk memberi.

Memberi kasih sayang, memberi tarbiyah dan memberi segala-galanya yang perlu buat seorang anak, agar lahirnya dia sebagai seorang abid, daie dan jua khalifah.

Sesungguhnya kita bertanggungjwab di atas nasib zuriat dan generasi kita kelak. Andai kata diri sendiri rosak, jangan dikesalkan anak-anak lebih punah!

Wallahua'lam, cetusan hati dari insan yang jauh dari kesempurnaan dan kematangan~

***



Wahai sepupuku yang dikasihi, membesarlah kamu sebagai seorang rijal penyambung mata rantai perjuangan Baginda S.A.W. Moga lahirnya kamu sayang di dunia ini, menambahkan seorang lagi umat kebanggan Islam, bukanlah sebaliknya, InsyaAllah. Moga kamu membesar dengan sempurna!~

***

Nota kaki: Teruja dalam resah menantikan kehadiran adinda baru, seorang lagi 'Nur Farah' yang bakal melihat dunia insyaAllah pada Jun ini. Doakan keselamatan ibu dan anak. Umi, kakak berjanji, tanggungjawab mendidik puteri yang bakal dilahirkan kelak, bukan hanya tanggungjawab umi dan abah, tetapi jua tanggungjawab kami kakak-kakaknya,insyaAllah.

Friday, April 02, 2010

Jangan bersedih ukhtiku!

*Specially dedicated to my dearest love, Nur Syahida Abdul Majid, Wan Asmat Ismail & Nur Fateha Anuar Tan*

Great photo by my little dear sister: Wan Nurhana Wan Hassan



Dalam epilog catatan seorang pejuang,
ujian dan godaan perkara biasa,
cubaan dan hasutan sekadar mainan,
dalam membina empayar taqwa dlm qalbu,
sesekali hati termerintih,
sesekali airmata menitis,
simbolik tangisan seorang hamba yg sedang menikmati takhlifat Tuhannya,
rintihan itu bukan tanda kelemahan,
tangisan itu bkn tanda penderitaan,
tetapi merupakan wasilah yg digunakan oleh pejuang terbabit,
dalam menangani keperitan sebagai tanda ingatan drpd yg Maha Mencipta,
belaian Allah di dunia meski perit,
lazatnya membawa ke Syurga...

***
Aku lihat kamu berduka. Ingin sekali aku berkongsi rasa itu denganmu ukhtiku. Mengapa kamu menangis? Kesatlah air matamu itu, jangan sia-siakan ia dengan sesuatu yang engkau sendiri mampu mengatasinya.

Ukhtiku,bangkitlah,aku tahu kamu bisa. Allah tidak membebani hambaNya melainkan Dia Maha Mengetahui bahawa Dia telah membekalkan hambaNya itu dengan kekuatan yang cukup.

Bangkitlah, usah menoleh kembali ke belakang. Di depan ada sinar terang yang menanti kita bersama.

Sambut tanganku. Aku ingin kita sama-sama tiba di penamatnya.

Uhibukki fillah dear.

I do care for you.

Kesakitanmu,kesakitanku jua.

Aku tidak sanggup lagi untuk melihat dirimu yang bukan dirimu itu lagi.

Bangkitlah jiwa-jiwa yang hebat, majulah kehadapan!

Tinggalkan episod luka semalam.

***

Aku hanya akan hidup hari ini maka aku akan mengucapkan:-

”Wahai masa lalu yang sudah berlalu dan selesai, tenggelamlah kamu seperti tenggelamnya mataharimu. Aku tidak akan menangisi pemergianmu, dan kamu tidak akan melihatku termenung sebentar pun untuk mengingatimu. Kamu sudah meninggalkan kami semua, pergilah dan jangan kembali lagi”

”Wahai masa depan, engkau masih dalam keghaiban. Maka aku tidak akan bermain dangan khayalan dan memperjudikan nasib dangan hanya satu agakan. Aku juga tidak bakal memburu sesuatu yang belum tentu ada, sebab esok hari mungkin tidak ada sesuatu; esok hari adalah sesuatu yang yang belum diciptakan dan tidak ada satu pun darinya yang dapat disebutkan”

[Dr Aidh Abdullah Al-Qarni]

***


Don't despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side



Notahati: Aku sedar aku bukan teman terbaik yang bisa sentiasa berdamping denganmu, yang senantiasa bisa mencurahkan kata-kata penyuntik semangat. Aku hanyalah insan biasa, seorang sahabat yang sangat menghargai dirimu teman, dan ingin melihatmu bangkit kembali! La tahzan, jangan pernah putus asa dari rahmat dan kasihNya~


Demi hari-hari yang pasti



Will you marry me?

"enti
bukan ana tidak mahu memandang wajah enti
tapi ana berdoa agar wajah ini menghiasi hari-hari nanti
yang bakal mengukirkan senyuman di setiap pagi
di hari-hari yang pasti

bukan ana tidak mahu melirik senyuman pada enti
tetapi ana selalu tersenyum dalam hati
agar senyuman ini ‘mahal’ di hari penyarungan cincin ke jari

bukan ana tidak ingin memandang senyuman enti
tetapi ana bimbang senyuman ini bakal pudar layu
di hari-hari yang pasti

bukan ana tidak mahu bercakap dgn enti
tetapi ana ingin menghabiskan bicara-bicara ana
tika mana ana dan enti bukan lagi sekadar ‘ana’ dan ‘enti’
di har-hari yang pasti

bukan ana tidak mahu berchatting dengan enti
tetapi ana takut jari-jari ini tidak diizinkan lagi untuk membelai rambut enti
di hari-hari yang pasti

bukan ana tidak mahu membalas SMS enti
tetapi bimbang Allah menarik kenikmatan ini di hari-hari yang pasti
tika itu mungkin Allah menarik nikmat cinta duniawi yg dinikmati di waktu ini

enti yakinlah,

bukan ana tidak ingin mengatakan rindu pada enti
tetapi rindu tika ini tidak akan membawa kepada rindu ana pada Ilahi
kerana hari ini masih bukan hari yang pasti

enti,
intailah sebentar hari-hari yang pasti
tika itu andai ana jatuh enti hulurkan tangan memberi ana harapan
tika ana bersedih enti berikan senyuman yang mendamaikan
tika ana keseorangan entilah teman
tika ana kelalaian entilah yang mengingatkan
tika itu, ana dan enti
bukan lah ‘ana dan enti ‘lagi
kerana…

ia adalah hari-hari yang pasti
antara abbi dan ummi
berdoalah untuk hari-hari yang pasti
di sana bunga c.i.n.t.a akan mekar bersemi"

[sumber: http://hawaymutasawwil.blogspot.com]

Bintang malam kembali terang, langit kelabu kini gemilang, mentari terbit tersenyum riang, berbunga mekar hati seseorang. Mengejar cinta teman dunia, mencari kasih dambaan manusia, lupa cinta agung Sang Pencipta, malanglah nasib mereka yang sia-sia. Sahabat, usah bazirkan peluang bercinta.

Ayuh,bersama mengejar cintaNya~

Notakaki: Urghh,terasa sakit sekali diuji begini. Sabar,sabar. Benarlah, setiap kata-kata itu bakal diuji olehNya. Sedang bibir laju mengatur bicara, jari jemari pantas melarik nasihat, hati sukar sekali mengatur langkah mengotakan kata. Sering sekali suka berbicara tentang cinta manusia dan cintaNya, maka sering jualah hati ini diuji dengannya. Namun, adakah cukup ujian ini sebagai alasan bagi menidakkan pesan Junjungan Besar S.A.W "sampaikanlah dariku walau sepotong ayat"? Aku akan sentiasa menyampaikan, kerana aku dilahirkan sebagai daie, meski diuji dengan kata-kata sendiri. Mudah-mudahan apa yang disampaikan lebih berbekas di hati si penulis sebelum menusuk ke jiwa-jiwa diluar sana.

Thursday, April 01, 2010

Hati-hati dengan hati!

* Sekadar entri pendek penyegar nurani dikala stress menjelang exam anatomy*

Ah, susahnya menjaga hati.

Lalai...

Lalai dengan apa?

Lalai dari menjaga hati, terlalu sibuk dengan dunia, hingga hati sendiri dianaktirikan.

Hati itu ada 4 jenis [eheh,saya belajar anat ada satu je?!]
1) Hati yang segar
2)Hati yang gersang
3)Hati yang berpenyakit
4)Hati yang mati

Oh, hati yang ini rupanya. Agak-agak la kan, hati kita yang mana satu?

3 tanda hati yang hidup:

1. Ma'rifatullah
2. Mentaati Allah
3. Mencintai Allah

Ah, aku masih belum bertaaruf denganNya sebenar-benar Taaruf, aku jua masih jauh dari menjadi hambaNya yang sentiasa taat dan ikhlas dalam mengerjakan suruhanNya, dan aku jua tidak berani mengatakan bahawa aku benar-benar mencintai Allah tuhanku kerana amalku tidak mencerminkan perilaku hamba yang mencintai Tuannya.

Bermakna, hati aku tidak lagi hidup.

Sungguh, aku telah berlaku kejam terhadap diriku sendiri.

Pesan Ibn Qayyim Al-Jauzi, seandainya hati kita mati lantaran kelalaian kita, maka kita adalahpembunuh, yang membunuh hati kita sendiri!"

“Sesungguhnya Allah menjadikan hati adalah untuk ma’rifatullah, mentaati-Nya dan mencintai-Nya. Sekiranya ketiga-tiga perkara ini tidak berlaku maka hati itu sebenarnya telah cacat”

Kematian hati sememangnya biasanya tidak dirasai oleh pemilik hati kecuali mereka yang masih dikehendaki kebaikan oleh Allah SWT. Kematian hati tidak memberhentikan penambahan usia. Kehidupan zahir tetap berjalan cuma hati kita telah berhenti berfungsi. Inilah kematian sebelum ajalnya.

Takutilah hari di mana kita kematian hati tetapi kita tidak menyedarinya. Jasad kita hanya ‘kubur’ yang menyimpan ‘hati yang telah mati itu’.

Jadi, bisakah menghidupkan kembali hati yang telah 'mati itu?

Boleh!

Bagaimana?

Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya.
Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa.
Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam.
Keempat, sentiasa mengingati Allah ( berzikir )
Kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh

Disamping itu, mujahadahlah diri untuk menghindarkan diri dari 5 perkara yang merosakkan hati.

Selamat menjaga hati!


Notakaki: Susah benar ilmu yang diperolehi mahu menyerap kedalam hati. Kata seorang teman, ilmu yang tidak dapat memberi bekas kepada jiwa, itu bukan ilmu namanya, tetapi maklumat. Ilmu itu cahaya, tidak dapat masuk ke dalam hati yang dinodai maksiat. Tinggalkan maksiat, tingkatkan prestasi! Moga aku tidak lalai serta dan tidak jemu dalam misi menghidupkan kembali hati!

Tuesday, March 30, 2010

Kempen 3S [Set,Study,Score]

Salam sesuci titis embun qatrunnada buat pembaca sekalian~
Kali ini mahu membuat satu lagi promosi..
[Aduhai, banyak sungguh yang ingin dihebohkan ye? Hehe]


3S - Set, Study, Score!!
Anok kelate, maghi pakat kito sahut kempen ni deh!
Ngaji bia sunggoh, baghu prestasi cemerlae!
Allah suko ko mukmin yang kuat dan terbaek dale semo bide!~
[Err, terasa pelik menggunakan loghat Kelatan dalam blog sendiri, tapi saya anak jati Kelantan okeh! :D]

Ya, dengan ini saya berjanji dengan diri sendiri untuk belajar bersungguh-sungguh.
Demi Allah, saya akan buat yang terbaik!
Saya akan cuba mengikhlaskan diri dalam menuntut ilmu.
Kerana ikhlas itu payah dan suatu anugerah,
maka saya perlu bersungguh-sungguh [itqon] dalam melakukan apa jua perkara,
termasuklah dalam mengejar ilmu Allah!
Ya, Nur Farah Aisyah bt Nazim boleh!
Akan ku pastikan suatu hari nanti aku akan menjadi seorang Doktor Al-Hafizah
yang siap untuk berkhidmat buat agama!
Tidak akan ku kecewakan kalian!

***

"Untuk menyayangi orang lain,kita mesti menyayangi diri sendiri dahulu"

"Untuk memberi, kita pesti punya sesuatu dahulu sebelum dapat memberi"

***



Notakaki 1: Subhanallah, rupanya baru menyedari diri ini sedang diuji dengan masa lapang! Ya Allah, kurniakanlah aku kesibukan andai itu lebih baik buatku dan membuatkan ku lebih hampir denganMu!Seronok juga ya JUST sentiasa exam,barulah diri ini tidak alpa. Bukan tidak boleh, bukan tidak mampu, akal yang dikurniakan Allah ini lebih dari bisa untuk menghadam segala macam fakta medik itu, cuma saja diri leka dengan ujian masa lapang! Oh benar, peperiksaan bukanlah untuk mengukur kebijaksanaan kita, tetapi untuk menilai sejauh mana kemahuan kita untuk berjaya!

Notakaki 2: Baru sahaja mendapat kembali momentum dan adrenalin untuk kembali bersemangat untuk belajar! Rupanya rentak saya yang sebenar, membuat nota + stayback di Jamiah. Di rumah,godaannya terlalu besar! Katil, laptop, memasak, oh, seronok sangat stayback di Library. Teringat ketika zaman muda-muda dahulu di MMP, bersendirian / bersama teman-teman di sekolah sehingga lewat petang semata-mata untuk study! InsyaAllah, bakal menjadi 'pelanggan' tetap Maktabah JUST :D

Notakaki 3: Upcoming exam - Anatomy & Histology. Mohon doa dari kalian agar terus bersemangat dan thabat di dalam medan juang ini! Aku tidak ingin menjadi aktivis dakwah yang mempunyai rekod jenayah akademik!


Saturday, March 27, 2010

Syurga Idaman!

*Entri kali ini ditujukan khas buat seluruh warga PERMAI tercinta!*


Salam sesegar nailofar buat kalian yang dikasihi. Kali ini mahu menjadikan blog sebagai wadah untuk mempromosikan program terbaru PERMAI! :)


Apa itu Syurga Idaman?

Ok, Syurga Idaman adalah salah sebuah program tahunan di bawah JKK Perhubungan & Penempatan PERMAI (Persatuan Mahasiswa Irbid Jordan). Pada tahun sebelumnya program ini dinamakan dengan nama 'Anjung Seri' (2007) dan 'Anjung Seri Revolution' (2008) dan kini ia kembali semula dengan nafas baru yang lebih segar!

Jadi, apa matlamatnya?

Syurga Idaman adalah suatu pertandingan menghias rumah dan kediaman. Antara objektif utama program ini (program-program yang dibuat mesti ada tujuan ya,bukan saja-saja je) ialah:

1)Mencari keredhaan Allah
(buat apa-apa pun,mesti nak kejar mardhatillah kan?)
2)Memupuk semangat menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal
3)Melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang kreatif, inovatif dan dinamik
4)Merapatkan ukhuwwah antara mahasiswa

Penting sangat ke program ni?

Syurga Idaman ini hanyalah suatu usaha kecil bagi memupuk sifat kebersihan dalam diri mahasiswa PERMAI khususnya. Iyalah, sebenarnya tak perlu nak tunggu ada program macam ni baru nak bersih dan kemas kan? Cumanya program ini hadir bagi memeriahkan lagi perjalanan PERMAI disamping diharap dapat meniup semangat ahli PERMAI agar lebih berkobar-kobar mewujudkan Syurga Idaman masing-masing.

Kebersihan itu penting, sebab Allah itu cantik, dan Islam itu indah. Jadi sebagai hambaNya dan penganut agama suci ini, seharusnya penampilan dan status tempat tinggal kita juga menjadi refleksi terhadap kecantikan ini bukan?

Apakah kategori yang dipertandingkan?

Syabab (Rumah & Sakan), akhwat (Rumah & Sakan) dan keluarga. Akan ada juga kategori-kategori khas yang lain dipertandingkan.

Bagaimanakah pelaksanaan Syurga Idaman?

Program ini berlangsung hanya selama sebulan setengah iaitu bermula 1 April sehingga 15 Mei 2010. Dalam tempoh ini, sebanyak dua kali pemeriksaan dari rumah ke rumah akan dinilai oleh hakim-hakim yang telus dan bertauliah yang telah pun dilantik. Penilaian akan dibuat berdasarkan kriteria-kriteria tertentu.Tetapi keunikan program ini terletak pada 'keterbukaannya',yakni warga PERMAI akan dimaklumkan tarikh hakim-hakim akan 'menyerang' rumah-rumah mereka!

Jadi tiada alasan untuk tidak bersedia. Ambil hati hakim anda sebaik mungkin, lagi pula melayan tetamu kerana Allah adalah tuntutan Islam. Jangan pula bila hakim menjenguk baru rumah menjadi Syurga, tetapi jejak saja kaki keluar rumah sudah menjadi kalut ribut!

Jom ceriakan kediaman kita!
Ke arah menjadi muslim yang holistik dan berpenampilan.
~BerPERMAI hingga ke Syurga~

***

Nota kaki:Harapnya bukan di akhirat sana sahaja kita dapat merasai nikmat Syurga Firdausi (insyaAllah!),bahkan di dunia ini jua dapat hidup tenang dalam Syurga Idaman sendiri. Biarlah Syurga Idaman di dunia ini membawa kita lebih dekat untuk ke Syurga Idaman yang jauh lebih hebat disana!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...