Wednesday, March 10, 2010

SPM, penentu segalanya? Warkah buat adik-adik tersayang...



Salam cinta dan sayang penuh kerinduan buat adik-adik sekalian, terutama junior-junior Maahad tercinta.

Apa khabar adik disana?

Apa khabar imanmu, apa khabar amalmu?

Tika dan saat ini,akak cukup yakin dan percaya, bahawa adik sedang berdebar-debar penuh tawakkal menanti detik yang sangat penting dalam kehidupan adik.

Detik yang bakal mengubah segalanya.

Detik yang membuahkan natijah segala penat lelah adik selama ini.

Pengumuman keputusan SPM.

Hari yang bakal mencetuskan segala rasa.

Ini cerita akak

Ini zaman muda-muda dulu. Yang sebelah akak tu,mesti korang kenal kan?
Best student Malaysia SPM 2008, Ukht Nik Nur Madihah

Adikku sayang, ketahuilah daku turut berkongsi kegelisahan dan keresahan yang sama dengan dirimu.

Saban tahun, kita memang sudah dimomokkan agar memberi perhatian pada pelajar-pelajar cemerlang, pada mereka yang berjaya memperolehi straight A's dalam semua matapelajaran yang diambil. Setiap tahun, tumpuan kita bakal beralih pada siapakah yang bakal memecah rekod tahun sebelumnya. Berapakah A yang bakal dicipta pula pada tahun ini?

Tapi adikku sayang,bukan itu yang ku cari darimu. Akak hanya ingin berkongsi rasa dengan dirimu. Andai ia sebuah kejayaan, ingin ku gandakan kejayaan tersebut, namun jika ianya sebuah kegagalan, dan natijahnya tidak seperti yang engkau mahu, maka akak bersedia untuk turut berkongsi duka itu denganmu.

Mengenangkan esok keputusan SPM 2009 bakal diumumkan, akak jadi teringat pada diri akak saat akak berada di posisi kalian ketika itu.

Saat-saat indah di Maahad, merupakan salah satu dari kenangan terbaik akak sepanjang 19 tahun kewujudan akak di muka bumi ini.

Dan seperti jua rakan-rakan yang lain, sudah tentu akak turut mengimpikan kejayaan.

Ketika di tingkatan 4, akak mengambil keputusan untuk mengambil 17 subjek. Kalau mengikut perancangan awal, akak sepatutnya sama-sama mengambil 20 subjek, serupa dengan Kak Nik Nur Madihah, namun akhirnya, selepas beristikharah dan atas nasihat umi dan abah akak memandangkan komitmen pada Badan Displin pada ketika itu, maka akak tetap tegar dengan pendirian untuk mengambil 17 subjek.

Bukan niat untuk bermegah-megah, bukan niat untuk menunjuk-nunjuk, namun keputusan yang diambil untuk mengambil lebih subjek dalam SPM, adalah diniatkan demi Allah, demi Islam, dan untuk mencabar keupayaan diri sendiri.

Akak bukanlah contoh terbaik dalam belajar ini. Jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakan sekelas yang lain, maka usaha akak pada zahirnya kelihatan amatlah sedikit. Kelas pun selalu terpaksa ditinggalkan akibat komitmen sebagai ketua pelajar. Tapi tak mengapalah, amanah itu jua perlu dijalankan sebaik mungkin, seikhlas mungkin.

Jika kita ikhlas dalam menolong agamaNya, nescaya Dia jua akan menolong kita bukan?

Jika bukan sekarang, pasti pada masa akan datang.

Jika bukan di dunia, insyaAllah di akhirat sana.

Dan akak fikir, mungkin kerana keberkatan inilah, keberkatan doa umi abah, keberkatan doa guru-guru yang tidak pernah mengenal erti lelah dan penat, serta sokongan sahabat-sahabat yang sangat banyak membantu, akak berjaya mengecap kejayaan itu.

Maka pada saat diumumkan keputusan itu, ternyata akak berjaya melakukannya.

Tapi segala puji dipulangkan pada Allah. Kerana ini bukan hasil usaha akak semata, melainkan dengan rahmat dan kasihNya.

Kejayaan 17A itu, akak hadiahkan buat umi abah, adik-adik, keluarga, guru-guru serta sahabat seperjuangan. Ini untuk kalian semua!

Namun adik-adik, usahlah disangka bahawa SPM bakal penentu segala-galanya. SPM hanyalah kunci untuk membuka pintu kepada dimensi kehidupan yang lebih luas kelak.

17A tak kemana pun dik, jika hadirnya sekadar 17A. Sungguh, akak sangat mensyukuri bahawa kehidupan akak di MMP dulu bukan hanya dihabiskan semata-mata untuk akademik, namun akak turut merasai keseronokan alam remaja seperti rakan-rakan yang lain. Pengalaman memimpin, berpersatuan serta melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti serta pertandingan, membuatkan akak tidak pernah sesal meninggalkan bangku persekolahan yang cukup manis.

Andai sekalipun akak diberikan 17A1 namun tidak punya sebarang memori bersama adik-adik, kenangan berjuang bersama rakan-rakan sefikrah, pasti kejayaan itu tidak begitu bernilai dalam hidup akak.

Buat adik-adik


Berbaik sangkalah pada Dia

Itu kisah akak. 2 tahun sudah berlalu semenjak detik itu. Esok, adik yang akan berdepan dengan perasaan yang sama seperti kami, senior-senior yang pernah merasai perasaan yang sama itu.

Boleh jadi, esok merupakan hari yang paling gembira buat adik kerana Allah mengurniakan apa yang adik mahu.

Jika itu takdirnya, maka tahniah akak ucapkan di atas kejayaan adik. Maka selayaknya rasa syukur padaNya perlu didahulukan, serta ucapan terima kasih pada orang-orang sekeliling yang telah banyak membantumu tanpa dikau sedari. Hindari riya' dan takjub dalam diri. Ingat, segalanya milk Dia.

Itu andai segalanya berjalan seperti mana yang direncanakan.

Namun,jika Allah tidak menginginkannya, usah bersedih.

Allah merancang, kita jua merancang, namun sebaik-baik perancang adalah Dia.

Akak tahu, kegagalan merupakan suatu yang sangat adik takuti. Tiada siapa pun yang mahu gagal bukan? Namun imanilah, tak semua yang kita mahu itu, terbaik buat kita, dan tak semua yang kita perlu itu, adalah yang kita mahu.

''Dan boleh jadi apa yang kamu tidak sukai itu baik bagi kamu, dan boleh jadi apa yang kamu sukai itu buruk buat kamu. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui sedangkan kamu langsung tidak mengetahui apa apa" [2: 216]

SPM bukanlah penamat segalanya. Akak cukup yakin dan percaya, bahawa Dia mempunyai rencana yang lebih baik buat adik. Lagipun adikku sayang, kejayaan kita yang paling utama, bukanlah terletak pada sebanyak mana A yang kita perolehi.

Perjalanan kita masih panjang.

Destinasi terakhir, negeri akhirat masih jauh.

SPM hanyalah titik kecil dalam perjalanan kita yang masih panjang.

Tiada erti adik mendapat kejayaan duniawi, jika hakikatnya Allah tidak redha, emak ayah tidak restu, guru-guru terasa hati. Adalah amat malang jika itu yang berlaku, nauzubillahi min zalik.

Kegagalan dan ujian, boleh jadi satu teguran dari Allah.

Muhasabah kembali apa yang kurang, dimana silapnya. Mungkin keberkatan itu tiada, mungkin saja ada hati yang terluka sepanjang perjuanganmu menuntut ilmu. Atau mungkin adik terlupa, bahawa kita hanya berusaha, natijahnya, Dia yang berhak.

Kegagalan dan ujian juga, boleh jadi suatu nikmat dan tarbiah dariNya.

Boleh jadi, Dia ingin menyelamatkan adik dari lemas dengan kebanggan dan perasaan riak yang melampau. Mungkin jua dengan ini maka adik akan lebih hampir denganNya serta tidak lupa diri. Atau mungkin jua, Dia telah menyediakan kejayaan yang lebih besar buat adik kelak.

Walau apa pun hadaf kegagalan dan kejayaan itu, percayalah bahawa itu adalah tanda kasih sayangNya pada kita. Ya, setiap yang berlaku adalah tanda cintaNya pada hambaNya.

Optimislah.

Belajar untuk bersyukur, redha dan sabar.

Kejayaan abadi, adalah kejayaan dunia dan akhirat. Kejayaan mendapat redhaNya.

“Serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.” [9: 72]

Life is not just about getting straight A's or grasping a certificate! It's more than that!

Orang yang hebat, maka Allah akan mengujinya dengan ujian yang hebat jua!

Akak doakan yang terbaik buat kalian semua.

Sesungguhnya aku amat merindui adinda-adindaku. Moga kalian dipelihara oleh Allah sentiasa, walau apa pun yang berlaku.

Salam sayang, salam mahabbah,
K.Farah Aisyah
Irbid,Jordan


Notakaki1: Jangan lupa update dengan akak ye pasal result korang. Kebahagiaan dan kekecewaan itu adalah untuk dikongsi, bukan hanya dipendam sendirian bukan? ;)

Notakaki2: Sahabiah-sahabiah STAM juga tidak dilupakan. Esok hari besar buat kalian bukan? Ana mendoakan yang terbaik, sentiasa~

Lagi-lagi cinta!


Bercerita soal cinta, tubuh jadi menggeletar, jiwa jadi bersemangat, hati jadi kuat.

Besarnya penangan cinta, mata jadi buta dengan realiti, telinga jadi kebal dengan caci, hati jadi teguh dengan aspirasi.

Cinta diistilahkan sebagai tajuk yang 'terbungkus' kerana ia berupa perasaan. Jauh di dasar agama, ia bersifat 'malu-malu', berwajah seni dan menjadi bawaan jiwa. Ia seakan-akan menjadi 'taboo' daripada dikupas rahsianya biarpun oleh orang yang sepatutnya 'ahli' hingga ke dasar pengertian.

Hadirnya ghaib tetapi roh kezahirannya wujud memukau dan sering meninggalkan kesan cakaran yang keliru dimana-mana. Itu menjadikan,cinta itu sendiri memerlukan pentakrifan dan pemerincian.

Ah,sukar sekali merungkai perihal cinta ini.

Selayaknya sebagai hamba, cinta padaNya harus diletakkan sebagai prioriti - cinta pertama, cinta utama. Namun,bukan semudah kata yang dilafaz untuk memperoleh cinta teragung itu.

Zaman remaja, saya kira sebagai zaman yang paling mencabar, spiritual dan fizikalnya. Ujian paling besar, tentu saja dalam mengenali diri sendiri dan kehadiran ujian 'jiwa dan perasaan'. Ledakan hormon yang sudah menjadi fitrah pada peringkat ini,memerlukan ketahanan jiwa dan pertahanan iman yang kebal. Cinta antara lelaki dan wanita, adalah ujian 'favourite' Dia pada hambaNya.

Ada yang lolos.

Dan ada yang kandas.

Saya belum mahu menyentuh soal cinta antara dua manusia ini, kerana saya sendiri pun diuji dengan ujian sebegitu, dan saya tidak layak untuk berbicara soal itu. Cuma pesan saya, dalam bab hati dan perasaan, sentiasalah merujuk pada mereka yang benar-benar thiqah, disamping menjadikan Kalamullah dan sunnah Baginda s.a.w sebagai rujukan tertinggi. Kita tahu, tiada istilah cinta sebelum perkahwinan. Namun, bagi yang telah diuji, jangan berputus asa dari rahmatNya, itu cara Dia mentarbiyah dirimu. Optimislah dengan ujian, bangkit kembali, biarkan dosa itu yang memangkin dirimu makin hampir dalam pencarian cintaNya. Setiap yang berlaku, pasti ada hikmah disebaliknya.

Namun walau apa pun, hakikat cinta yang sebenar, tidak lain tidak bukan adalah cinta yang membawa kepada cintaNya.

"Ya Tuhanku, aku mohon supaya aku cinta kepadaMu dan cinta kepada orang yang mencintaiMu, termasuk orang yang cinta kepada semua amalan yang boleh membawa kepada cinta kepadaMu''
[Hadis riwayat Tarmidzi: 3341]

Sungguh,izinkan aku untuk meneguk cintaMu, buat penghilang dahaga keresahanku sepanjang perjalanan yang payah ini.

Dibawah ini, adalah sebuah puisi, nukilan sahabat seperjuangan di Bumi Israk, yang merupakan luahan nuraninya sendiri. Bersama mengambil ibroh dan istifadah daripadanya.




KAU DAMBAANKU

mengapa rasa cinta palsu ini
masih bertakhta di hatiku??
apa dosaku?
apa salahku kerana menjadi seorang yang sangat setia?
siapakah aku dimatamu?
hinakah aku disisimu?
Tuhan,maafkan aku
kerana menduakan cintaMu
aku tidak berdaya menolak segala cobaan ini
kerana aku hanya seorang hamba
insan yang bukan bergelar rabiatul adawiyah
walaupun aku bercita-cita ingin menjadi sepertinya
wahai tuhan
ingin ku infakkan diri ini
menuju redaMu
walaupun diriku terpaksa menangung onak derita
walaupun diriku terpaksa menanggung pilu dan duka
kerna aku tidak sekali mendustakan segala nikmatMu padaku
kerna wajahMu itu lebih kudambakan dari segalanya
dengan izinmu
di Jannatul Firdausil A'laa
wahai tuhan....
andaikata diriku
ditusuk dengan pedang...
dibakar hidup2
mahupun disalib
maka itu lebih baik wahai Rabbku
daripada diriku
mendekati zina
ameen
sekian,
surat dari seorang hamba
kpd Rabbnya
terimalah cinta ku wahai tuhan
walau sehina apapun diri ini
ingin kututup pintu hati ini
hanya untukmu

[Hjr Nuraisyah]


'True love is like ghosts, which everybody talks about but few have seen'
~ Francois Duc de La Rochefoucauld ~

Notakaki: Entah mengapa, semua makin galak mebicarakan soal cinta dan pembinaan bayt muslim. Musim cinta agaknya di Jordan ini. Atau mingkin simptom normal pelajar-pelajar yang kesepian di perantauan. Ya Allah, bilakah angin ini akan berlalu, sungguh mencabar ujian perasaan ini. Shhh,lari jauh-jauh, aku hendak fokus pada pelajaran dan berkhidmat pada ummah dahulu. Bila tiba saat dan ketikanya kelak, akan ku sambut dikau dengan hati yang penuh lapang dan terbuka. Kini, hanya yang mampu ku berikan jawapan, selamat tinggal cinta! Moga ketemu dalam ruangan yang lebih baik! Allah,tunggu aku,aku dalam perjalanan mengejar cintaMu!




Monday, March 08, 2010

Salam imtihan!




Ukhtiku,

Dulu semalam dan hari ini,
kau melihat generasi demi generasi
menghancurkan kehidupan mereka
dengan mengingkari Allah,
lalu kau tunduk kesedihan dan kebuntuan,
Kau benar-benar kebingungan dan bertanya;
'Apa yang harus aku lakukan
untuk menebus kelelahan umat ini?'

Jawabku,
'Bukankah kau adalah dai'e dan mujahid?'

Katamu lagi,
'Tapi langkahku terlalu lambat'

Jawabku,
'Kau lambat kerana kau sendiri sibuk dengan urusan duniamu,
mengejar impianmu dan lupa akan hari kebangkitan.
Pada hari itu amalmu terbentang,
tubuhmu terbuka.
Apakah di sana ada bekalmu?'

***

Pada akhir zaman, orang-orang yang memegang tali perjuangan itu bagaikan menggenggam bara api.Andai terus digenggam,hancur luluh jiwanya.Namun,andai dilepaskan,maka hancurlah dunia.

Jangan takut untuk berjuang kerana orang-orang yang berjuang ini memang dirintangi ujian.
Sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.

***

Kita hidup untuk perjuangan dan mati untuk kehidupan.
Syurga impian,redha dambaan.

***

Sahabat-sahabat,ayuh lakukan yang terbaik dalam 1st exam sem 2 yang bakal mendatang ini!Harapannya kita tidaklah tergolongan dalam kalangan orang yang menconteng arang pada agama sendiri.Ayuh,persembahkan usaha kita yang terbaik pada Allah.Selebihnya,biar Dia saja yang menentukan! Bittaufiq wannajah semuanya!

''Kita tidak mahu gerakan Islam dan barisan saf perjuangan Islam dipenuhi dengan longgokan sisa manusia yang tidak berkualiti. Membiarkan pencapaian masing-masing di dalam akademik pada tahap atas urat, adalah suatu pengkhianatan kepada ketinggian dan kemuliaan Islam."
[Saifulislam.com]



Dek kerana sudah terbiasa study di saat-saat akhir,maka sekarang makin peritlah usaha untuk membetulkan tabiat diri yang satu ini. Maka diri perlu kreatif mencari solusi agar diri tidak lagi dizalimi oleh kecuaian diri sendiri. Oleh itu,sahabat-sahabat,kalian telah saya berikan 'authority' untuk melarang saya membuang masa dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat pada saya dan kalian.Kalau dah malas sangat tu,cepuk je! (bak kata Tqah,hehe) Jasa baik kalian amatlah saya hargai. Nanti bila-bila ada masa,umi buatkan kek special untuk korang ye! ;)

Bittaufiq untuk exam semua,samada pada para Dentist atau Doctors-To-Be. Oh,tidak dilupakan pakar Fizik kita,ukht Nik Nur Madihah. [See,i've told ya,u'll neva be forgotten!]

***

Notakaki: Anatomy,Histology,Physiology,Organic Chemistry,semua minta untuk dibelai. Al-Quran pula sentiasa memujuk diri agar sentiasa diberi perhatian. Komitmen persatuan pula tidak boleh dipandang sebelah mata,kelak merana lah semuanya. Ya Allah,berkatilah 24 jam masa yang Engkau berikan kepada diriku!

Saturday, March 06, 2010

Monolog hamba pada Tuhannya


Salam sejahtera buat seluruh insan di dunia,salam penuh kasih sayang buat muslimin dan muslimat seaqidah,jua salam dakwah buat mereka yang masih belum dicampakkan hidayahNya,moga dilorongkan hati untuk bertemu dengan keizzahan agamaNya.

Alhamdulillah,syukur sesyukurnya,hanya layak diberikan kepadaNya.Tika dan saat ini,diri masih lagi mampu berkata-kata,masih dipanjangkan kontrak pinjaman nikmat tubuh badan dan anggota badan.Syukur Alhamdulillah,masih diberi kesempatan untuk terus hidup menyumbang bakti pada agama,dalam nikmat Iman dan Islam.

Alhamdulillah,17 Februari yang lalu,telah selamat diraikan ulangtahun kelahiran saya yang ke 19.Ya,sudah 19 tahun rupanya Dia memberikan saya nikmat hidup ini.Selama 19 tahun ini jugalah,terlalu banyak nikmat dan kasih sayang yang telah Dia tunjukkan pada diri ini,terlalu banyak sehinggakan saya sendiri jadi malu untuk mengaku sebagai hambaNya.HambaNya yang langsung tidak pandai bersyukur.

Ya,aku memang hambaMu yang jahil dan khilaf.

Aku melupakan Engkau disaat Engkau sentiasa memerhati dan melindungiku.

Kebahagiaan yang aku rasa,seringkali diiringi dengan keraian bersama insan-insan tersayang,sehinggakan aku lupa pada Engkau,pemilik kebahagiaan itu.

Kekecewaan yang aku rasa jua,seringkali aku membalakangkan diriMu selaku kaunselor utamaku,aku menafikan hakMu sebagai tempat pertama dan utama untuk meluah rasa.

Maaf Tuhan,kiranya aku mengecewakan diriMu sebagai Tuan pada hamba yang sungguh rendah tahap kehambaanNya.



***

Lupakah kita pada janji yang telah kita pateri sendiri bersama Tuhan kita dahulu sebelum dihantar ke dunia,bahawa kita akan mengabdikan diri hanya padaNya,bahawa rasa cinta dan rindu ini hanya akan ditumpahkan buatNya?

Tapi kini,kemana janji-janji itu menghilang?Sungguh mulia kita bertuankan Dia,namun amat malang Dia mempunyai hamba yang tidak kenal dengan Tuan sendiri.

Hari ini,aku sedar.

Esok,aku bakal lupa.

Hari ini,aku menjadi hambaNya yang paling bersyukur.

Hari esok,akulah yang paling kuat menyakitkan hatiNya dan merosot prestasinya

الايمان يزيد و ينقص
'Iman itu,bertambah dan berkurang'

Sudah sudahlah,aku sudah penat menjadi hamba yang begini.Aku mahu menjadi hambaMu yang paling mencintaiMu dan dicintaiMu.Sudah cukup aku merungut dengan segala ujian dariMu,sudah jemu aku bazirkan anugerah kudrat ini,kini aku mahu bekerja buatMu.

Moga azam dan janji ini bukan hanya sekadar kata.Oleh itu aku mohon,peliharalah hatiku,titipkanlah kesabaran dan kekuatan.Aku yakin dan pasti,jalan menuju cintaMu itu teramat payah,maka akan aku siapkan diriku untuk itu.Demi cintaMu,maka akan aku bersabar!

ولربك فاصبر
'Dan demi Tuhanmu,maka bersabarlah' [74:7]

Buat diri,kamu sudah 19.Usahakan agar hatimu dipenuhi dengan ingatan padaNya.Dunia memang indah,namun indah lagi kehidupan disana.Berjuang memang payah,namun kepayahan itu hanya sedikit jika dibandingkan dengan nikmat yang lebih agung kelak.

Bukankah cita-cita tertinggimu,ingin menatap wajah Kekasih dambaanmu kelak?

Untuk itu,berusahalah diri.Tabahlah hati,pinggirkan cinta yang menghalangmu dari mendekatiNya,suburkan cinta yang menjadikan dirimu lebih akrab denganNya.

Makbulkanlah,perkenanlah permintaan hambaMu ini.Maaf,aku telah terlalu banyak meminta padaMu selama ini.



"Ketika kita pinta cinta Allah,Allah akan membentangkan cinta makhlukNya kepada kita. Disaat itu,tegarkanlah hati,dan pilihlah cinta Allah,cinta pertama,cinta utama''

Notakaki:Hati,sudah sudahlah,lepaskan kenangan lalu. Cinta yang ada dalam hati,jangan dinodai dengan nafsu serta ingatan yang tidak halal buatmu.Bersabarlah,gantungkan sepenuh pengharapan padaNya.Sudah menjadi lumrah, sunnah orang berjuang,hati dan perasaan perlu dikorbankan. Cinta manusia palah sangat jika dibandingkan dengan cinta Tuan sekalian manusia bukan?HatiNya yang perlu kau menangi terlebih dahulu!


Monday, March 01, 2010

Debat pada kaca mata saya

Pertandingan Debat Ala Parlimen Piala Presiden PERMAI 09/10
"Debat Pencetus Kualiti Ummah"


Pusingan 1
Kerajaan Sinergi vs Pembangkang Marha Marha Irbid Girls
''1 Malaysia Simbol Politik"
Keputusan: Usul diterima dewan sebulat suara

Pusingan 2
Kerajaan Sinergi vs Pembangkang Serikandi Sanfurah
''Pembangunan Ekonomi Meruntuhkan Moral Masyarakat"
Keputusan: Usul ditolak dengan majoriti 2/3 dewan

Pusingan 3 (Separuh Akhir)
Kerajaan Pewaris Gemilang vs Pembangkang Sinergi
''Lelaki Menyusahkan,Wanita Menenangkan"
Keputusan: Usul ditolak sebulat suara oleh dewan

Pusingan 4 (Akhir Akhawat)
Kerajaan Serikandi Sanfurah vs Pembangkang Sinergi
''Facebook: Lebih Sudu Dari Kuah"
Keputusan: Usul ditolak sebulat suara oleh dewan

Pusingan 5 (Akhir Syabab & Akhawat)
Kerajaan Kump. Azam vs Pembangkang Sinergi
"Rancangan Realiti: Kebajikan Plastik"
Keputusan: Usul diterima oleh majoriti 9/11 dewan

Salam sejahtera,salam perdebatan dan selamat bersidang kesemuanya

Demam debat sudah pun berakhir.Setelah seminggu menghabiskan seluruh masa dan tenaga serta akal fikiran dalam debat ini,ternyata percaturan pertama saya dalam arena debat bahasa melayu tidak mengecewakan.Banyak yang telah saya pelajari sepanjang pertandingan debat yang dianggotai oleh Ainaa Nadia,Nur Nuha, Raihana Nazri serta saya sendiri yang bergabung di dalam suatu kumpulan bernama 'Sinergi'.

Penyertaan saya ke dalam arena debat merupakan sesuatu yang baru buat saya,lebih-lebih lagi debat Bahasa Melayu ala Parlimen begini.Mungkin ada sesetengah yang menyangkal kata-kata saya ini dengan mengatakan saya sudah berpengalaman ketika di bangku sekolah dahulu,namun dulu saya hanya melibatkan diri dalam debat Bahasa Inggeris,dan itu pun yang berbentuk konvensional atau 'lapuk'.Mengapa saya katakan begitu,bukanlah kerana saya ingin menghina sekolah yang saya cintai sendiri,namun tidak dapat dinafikan pertandingan-pertandingan sebegitu di sekolah kami masih di takuk yang lama dan masih belum mampu melahirkan pejuang-pejuang agama yang hebat di medan lidah.Harapnya sudah ada pembaharuan dilakukan kini.Kesian,bakat cukup ramai di Maahad,namun peluang untuk menonjol sangatlah minima.

Sejujurnya saya memang memandang tinggi pada rakan-rakan yang menyertai arena debat ini,kerana seorang pendebat atau pembahas mempunyai banyak nilai tambah jika dibandingkan dengan seorang yang bukan pembahas.Pertama,mereka saya klasifikasikan sebagai berani.Iye lah,tanpa keberanian,tidak mungkin seseorang itu mampu menyuarakan pendapat dan berbahas dengan penuh keyakinan di depan khalayak ramai bukan?

Keduanya,saya sangat mencemburui ahli bahas ini kerana secara teknikalnya,penguasaan bahasa mereka sangat hebat dan mereka mampu menyuarakan pendapat dengan baik dan dapat difahami secara jelas oleh audiens.Kebolehan ini saya kira sebagai suatu anugerah,meskipun pada hakikatnya ia boleh dibina dengan latihan yang berpanjangan.Kerana itulah saya merebut peluang ini untuk menyertai debat,bagi mengasah bakat berbahasa saya ini.Lihatlah gaya penulisan saya sekarang,teruk bukan?Saya memang bermasalah dalam menyampaikan idea melalui kata-kata.Tapi tidak mengapalah,yang penting saya perlu berusaha dengan lebih keras.

Jadi,mengapa perlu berdebat?Saya bukanlah seorang yang alim dan berpengetahuan untuk mendatangkan dalil-dalil naqliah serta kata-kata ulama' berkenaan keperluan berdebat dan mempunyai skill komunikasi yang tinggi bagi seorang muslim,namun mengikut pandangan peribadi saya,amat rugi bagi pejuang agama Allah ini,tandus dalam soal bicara dan menyampaikan pandangan ini.Amatlah kasihan jika ilmu yang berbukit-bukit tidak dapat disampaikan dengan baik dan dimanfaatkan demi kemaslahatan ummah,hanya kerana ketidakmahiran dalam menyusun butir bicara.Dan itu yang saya pegang,bahawa penglibatan saya di medan debat ini,bukanlah semata-mata mahu bertikam lidah menegakkan benang yang basah,tetapi untuk membina keterampilan diri agar diri dapat berdiri sebaris dengan tokoh-tokoh yang berpengaruh di dunia ini demi menegakkan kalimah 'La ilaha illallah,Muhammadu Rasulullah".

Bercerita mengenai Pertandingan Debat Piala Presiden PERMAI ini,saya cukup teruja. Tajuk-tajuk yang diberikan sangatlah mencabar pemikiran saya yang sememangnya sebelum ini cukup gersang dengan ilmu-ilmu semasa.Kalau sebelum ini saya langsung tidak mempedulikan soal 1 Malaysia ataupun isu Bajet 2010,tapi kali ini mahu tak mahu saya terpaksa mengambil tahu.Dari isu politiknya,ekonomi,sosial hinggalah ke tajuk humor,semua itu memberi peluang pada saya dan juga teman-teman untuk mencambahkan idea tentang pelbagai cabang pengetahuan dalam ruang lingkup yang sangat luas.Bak kata akak-akak senior,ilmu yang ada ini sematlah dan simpanlah baik-baik,mana tahu dapat membantu sedikit sebanyak pada masa hadapan kelak.

Benarlah,menjadi seorang pembahas sangatlah mencabar,lebih-lebih minda perlu sentiasa peka dan kritis dalam membidas kembali hujah pihak lawan.Kerjasama merupakan tunjang kepada kejayaan sesebuah pasukan itu.Andai salah seorang dari ahli gagal melaksanakn tanggungjawab dengan baik,maka akan pincanglah perjuangan kumpulan tersebut.Untuk itu,pujian harus diberikan kepada teman-teman sepasukan saya,Ainaa Nadiah,Raihana dan Nuha yang cukup gempak dan hebat!Malam-malam yang dihabiskan bersama ketika memerah otak membincangkan usul yang bakal dibahaskan,merupakan antara kenangan terindah sepanjang keberadaan di Jordan ini.

Sehubungan dengan itu,di ruangan yang cukup terbatas ini,ingin ku hulurkan setinggi-tinggi apresiasi kepada rakan-rakan seperjuangan,kepada mereka yang telah membantu menyumbangkan idea secara langsung atau tidak,kepada seluruh jawatankuasa pertandingan debat Piala Presiden PERMAI 2009/2010,pihak lawan yang cukup ideal dan sangat disegani,para hakim dan penyokong,terima kasih kerana menjadi sebahagian dari rencah yang mengindahkan lagi arena perdebatan kita kali ini.

Moga bertemu lagi dalam medan perdebatan yang seterusnya.Semoga Allah menjadikan kita pejuan yang bukan hanya lantang di medan lidah,tetapi jua mantap di medan Amal.Akhirnya saya tinggalkan kita semua dengan sebuah persoalan untuk direnungkan bersama.

"Jika kita masih terkial-kial dalam berkata-kata sedangkan musuh kita sudah jauh meninggalkan kita di medan amal,bagaimanakah nasib daulah Islam yang menjadi aspirasi kita bersama?Mampukah kita menakluk dunia di saat kita masih terketar-ketar melantunkan bicara di depan khalayak ummah?"

Fikir-fikirkanlah.Kita mampu melakukannya.

Bersuaralah demi cintamu pada agamaNya!

Voice out your mind,and let the entire world hear your words~


~Great leaders are almost always are great simplifiers,who can cut through argument,debate and doubt to offer a solution~

Notakaki:Sangat suka dengan lontaran idea seorang sahabiah di Malaysia.Pada saya pandangannya sangat matang dan jitu.Ikuti pandangan beliau tentang seni berdebat di sini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...