Sunday, February 19, 2012

Monolog Hari Lahirku

Ya Allah, kelmarin adalah ulang tahun kelahiranku. Sudah 21 tahun aku bernaung di bawah langitMu Ya Allah. Belum pun terasa menjadi hambaMu yang sebenar. Masih berpura-pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau, hanya seketika lagi? Aku tidak pasti.

Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi...semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari lahir...selamat pulakah hari matiku?

Aku belum bersedia untuk bertemuMu Ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya Allah, segala kekuatan hanya padaMu jua. Kau yang Maha Tahu apa yang terbaik buat diriku. Aku merayu padaMu Ya Allah, pada tarikh ini...untuk mengemis keampunanMu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang Ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?

Ya Allah, pada hari ini, ku pinta leraikanlah segala kekusutan di fikiranku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gelojak hati ini. Wahai Yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun di pinggir rahmatMu. Walau sering aku lupa, namun aku sentiasa mendamba.

Aku kembara telah jauh, namun kolam hatiku kian keruh. Beban bertambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah, jiwa semakin gundah. Justeru mudah-mudahan di hari lahirku ini aku akan 'dilahirkan' semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingatiMu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau-kalau dimurkai. Harap, minta-minta diampuni.

Buat sahabat, teman dan kenalan, terima kasih di atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkanku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya, terimalah secebis kata (mungkin ini pun masih dari terowong jiwaku yang gelap gelita)

"Dalam kehidupan ini, kerap kali yang kita lihat sebagai satu pengakhiran rupa-rupanya adalah suatu permulaan yang baru"

Mudah-mudahan, ini adalah permulaan yang baik. Ameen Ya Rabbal 'Alamin~

*dipetik dan diubahsuai dari Nota 'Monolog Hari Jadiku' dari buku 'Di Mana Dia di Hatiku?' oleh Ustaz Pahrol Mat Juoi <3
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...